Nilai RM jatuh: Yang patut kita ketahui

ZAHARUDIN MUHAMMAD | .

SEJAK belakangan ini, mata wang Malaysia jatuh teruk berbanding dengan matawang asing yang lain. Pada 1 Januari, 1 USD bersamaan RM3.49, kemuncak kejatuhan pada bulan Jun kepada RM3.77 pada 8 Jun. Manakala Pound Sterling UK pula GDB1 bersamaan RM5.44 dan kemuncak kejatuhan kepada RM5.84 pada 10 Jun. Dolar Singapore pula, pada 1 Januari 2015, SGD1 bersamaan RM2.64 dan kemuncak jatuh kepada RM2.79 pada 14 Jun.

Graf matawang Malaysia sejak sebulan dua ini bagi saya agak membimbangkan justeru kita semua banyak bergantung kepada import. Pakaian kita banyak made in China. Kereta kita made in UK atau Japan. Makanan kita seperti lada, kelapa dan lain-lain daripada Indonesia.

Dagingan kita daripada Australia. Ayam sekalipun reban dan prosesnya di Malaysia, tetapi sebahagiannya diimport dari USA dan China. Makanan ayam yang direbankan di Malaysia pula seperti jagung diimport daripada Mexico?

Ikan? Walau laut di sekeliling kita, tetapi ikan kita tidak mengcukupi dan terpaksa import sebahagianya daripada Yaman dan Thailand. Kalau duit kita jatuh, maka pada masa itu semua barang kita guna dan pakai akan naik.

Kalau import kereta yang harga asalnya RM40,000, jika matawang kita jatuh RM0.10, maka harganya di Malaysia dah naik RM4,000. Itulah kesannya kepada perbelanjaan kita. Harga barang naik sebab duit kita jatuh, tambah lagi GST, akhirnya rakyat Malaysia tinggal gigi dan tulang sahaja.

Semua naik kecuali air hujan sahaja yagn turun di negara kita. Jangan sampai jadi begitu kerana kita masih ada ruang dan peluang yang banyak untuk berubah.

Kuasa mata wang banyak bergantung kepada tiga faktor:
1. Jumlah aktiviti ekonomi berguna atau jumlah barangan berharga sebenar. Seperti kita mempunyai sawit, kereta, padi, minyak dan lain-lain.
2. Jumlah cetakan umum wang kertas negara. Yang ini tugas Bank Negara untuk memantau cetakan mata wang.
3. Kepantasan pusingan mata wang atau kepantasan perpindahan wang dari tangan ke tangan. Dalam ekonomi, ia dikenali sebagai the velocity of the money.

Faktor 1 dan 2 saya tak mahu ulas panjang justeru ia wujud dan dunia ini tidak sunyi daripada bahan-bahan dan peluang pengeluaran. Yang ke-2 juga bagi saya tak berbangkit justeru Bank Negara mempuyai sistemnya tersendiri.

Yang saya nak bangkitkan ialah yang ke-3, iaitu the velocity of money. Ia bermaksud perpindahan wang dari tangan 1 ke tangan 2 akan menjana aktiviti ekonomi dan produk. Dari tangan 2 ke tangan 3 pula akan menjana aktiviti dan produk ke-2. Jika ada 10 perpindahan tangan bermakna akan ada 10 produk dan aktiviti yang akan dihasilkan.

Sebagai contoh, dari tangan Orang 1 (O1) berpindah ke tangan O2 akan menumbuhkan aktiviti membuat nasi lemak justeru O1 adalah pekerja pejabat kerajaan dan O2 adalah penjual nasi lemak. Dari tangan O2 pula berpindah lagi duit tadi kepada O3, maka ia akan menumbuhkan pula aktiviti pembekalan ikan justeru O3 adalah peraih ikan.

Dari tangan O3 pula duit tadi berpindah kepada O4 seterusnya menjana aktivit nelayan justeru O4 adalah nelayan yang ke laut menangkap ikan. Begitulah duit yang sama yang satu, apabila lagi banyak dan cepat ia bergerak, maka ia akan menumbuhkan aktiviti dan produk. Jika O1 tak pindahkan wangnya kepada O2, maka tiada produk nasi lemak dihasilkan.

Jika O2 tidak memindahkan wang ditangannya kepada O3, maka tiada aktiviti angkut ikan dari jeti ke pembuat nasi lemak berlaku. Jika O3 tidak pindahkan wang ditangannya kepada O4, maka tiada aktiviti menangkap ikan dihasilkan.

Dan mustahil O1 membuat nasi lemak, pergi ke jeti tiap-tiap hari untuk membeli ikan, dan dari jeti dia sendiri pergi ke laut untuk menangkap ikan. Pembahagian kerja ini dikenali sebagai Madani atau masyarakat Madani menurut Islam.

Cuba bayangkan, jika O1 kedekut dengan hanya makan biskut sekeping dengan cicah air suam, maka O2, O3, O4 dan lain-lain rantaian kewangan akan melopong. Itu tidak bagusnya kempen berjimat cermat oleh kerajaan dalam erti kata berbelanja mengikut kemampuan dan bukan mengikut keperluan. Kalau berjimat cermat dalam erti kata mengelakkan pembaziran, itu bagus. Ini intro asas yang penting untuk memahami isu selanjutnya.

Sedar atau tidak, hari ini rakyat banyak menghabiskan wang mereka untuk sesuatu yang tidak menjana produktiviti sekalipun wang itu mengalir. Sebaliknya wang mereka dihabiskan untuk menampung kos monopoli.

Cuba bayangkan, jika wang tadi hanya mengalir antara akaun maybank O1 kepada akaun CIMB O1 tetapi menumpang lalu melalui akaun O2, maka ia tidak akan menumbuhkan apa-apa aktiviti dan produk walaupun wang itu berpindah.

Itu realiti ekonomi hari ini yang saya cuba bayangkan kepada semua pembaca. Dengan kata lain, wang itu hanya tumpang masuk ke akaun anda dan keluar balik ke orang yang sama. Dengan kata lain, anda mendapat gaji RM4,000, tetapi sebenarnya 4,000 itu tidak melalui proses velocity of the money yang betul. Hanya RM2,000 sahaja yang mungkin terlibat dengan velocity of Money, tetapi 2,000 lagi hanya tumpang lalu di akaun anda.

Dengan kata lain, jika anda kerja kerajaan, kerajaan membayar kepada anda RM4,000 sebulan. Tetapi RM2,000 daripada RM4,000 itu anda terpaksa bayar semula kepada kerajaan dalam bentuk ansuran cukai kereta. (istilah ini difahami oleh orang yang pernah mendengar pembentangan saya tentang realiti harga kereta).

Jadi, hanya RM2,000 sahaja yang akan diberikan kepada O2, O3, O4 dan seterusnya manakala RM2,000 lagi adalah daripada kerajaan kepada anda dan kembali semula kepada kerajaan.

Ke mana kah perginya RM4,000 sebulan pendapatan anda? Bukankah ia cukup-cukup untuk anda menampung keperluan keluarga untuk sebulan? Bukankah kebiasaan rakyat kita habiskan gajinya paling besar untuk rumah dan keduanya untuk kereta? Apabila separuh gaji anda dihabiskan untuk ansuran rumah, 1/4 lagi untuk kereta dan bakinya lagi untuk keperluan asasi, ini bermakna wang anda dihabiskan untuk sesuatu yang tidak menjana untung atau produktiviti.

Rumah anda tidak membawa apa-apa pulangan, kereta anda tidak membawa apa-apa keuntungan. Tetapi anda membayarnya selama 30 tahun. 1/2, 1/3 gaji anda dihabiskan untuk itu. 30 tahun anda membayar, ia tidak menjana apa-apa selama 30 tahun. Pemaju hanya beraktiviti pada peringkat awal untuk anda berhutang selama 30 tahun. Dengan kata lain, wang semakin berjalan tetapi produktiviti semakin lemah.

Jika anda membuat 1 rumah untuk 10 orang dan 9 yang lain terpaksa membeli dengan anda sebab mereka tiada peluang mendapatkan tanah kerajaan dan tiada lesen untuk buat sendiri. Maka anda akan jual dengan harga mahal.

Jadi 1 daripada 9 terpaksa berhutang selama 30 tahun. Dengan untung rumah pertama, anda akan buat rumah ke-2. Tetapi rumah ke-2 ini hanya untuk pasaran sembilan orang kerana pembeli pertama sudah hilang kuasa belinya justeru sudah terikat hutang selama 30 tahun.

Apabila orang ke-2 membeli, maka pasaran hanya tinggal lapan orang. Begitulah seterusnya, sehingga akhirnya 10 orang yang berhutang rumah menjadikan semuanya hilang kuasa beli justeru terikat dengan hutang selama 30 tahun dengan separuh gajinya dihabiskan untuk ansuran pinjaman.

Jika dah sampai ke tahap itu, maka si pembuat rumah tadi paling kaya tetapi jika ia membuat rumah ke sebelas, maka tiada lagi pembeli. Jika ia buat produk lain, maka ia juga tidak laku sebab semua 10 rakyat dalam negara itu sudah hilang kuasa beli disebabkan lekat hutang selama 30 tahun. Ekonomi kita ini baru sampai ke tahap pembeli dua orang daripada 10. Tetapi jangan tunggu sampai lima daripada 10, nanti kita akan merana.

Jika anda faham gambaran saya di atas, 10 rakyat, velociti of money hanya berlaku antara dua pihak sahaja. Walaupun ada O1-O10, tetapi transaksi duit hanya berlaku antara O1-010 dan pihak pemaju sahaja. Bermakna dua transaksi sahaja.

Selama 30 tahun rakyat membayar untuk satu perkara yang telah wujud. Sepatutnya duit berpindah pada bulan pertama menghasilkan satu produk. Berpindah bulan ke-2 menghasilkan produk ke-2 pula. Berpindah pada bulan ke-3 akan menghasilkan produk ke-3.

Tetapi dalam realiti ekonomi kita, produk dihasilkan pada bulan pertama dan pasa tahun pertama, tetapi perpindahan wang berlaku selam 30 tahun tanpa ada produk-produk yang baru. Ini yang saya maksudkan dengan 30 tahun aliran wang individu untuk hanya satu produk, iaitu sebuah rumah.

Kenapa satu produk untuk dihutang selama 30 tahun? Jawapannya kerana monopoli. 20"X70” kaki tanah di Damansara Damai dengan harga RM400,000 sedangkan kosnya adalah sifar. Tetapi 300,000 rakyat berebut pada titik yang satu justeru hanya MK Land yang berhak memiliki dan membuat rumah di kawasan itu. Ini kesan tiada hukum Iqta', Hima dan Ihya' yang telah disyariatkan oleh Islam. (hukum ini diterangkan pada tulisan lain).

Realiti ini menjadikan perpindahan wang dari tangan ke tangan bersifat mandul.

Velocity of the Money adalah salah satu penyumbang kepada naik turun mata wang sesebuah negara. Jika wang tidak bergerak, maka produktiviti juga akan terbantut. Oleh itu, Islam kenakan cukai sebanyak 2.5% atas simpanan supaya ia mengalir dan terus mengalir. Tetapi hari ini, billionair simpan duit berbilion tiada cukai dikenakan atas simpanan.

Cukai Islam adalah terbaik. Undilah untuk sistem percukaian Islam. – HARAKAHDAILY 15/6/2015

Share on Myspace