Ustaz Fathan angkat sumpah Adun baru

ASLANI M Foto RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Selepas hampir tiga bulan dipilih sebagai wakil rakyat, hari ini Ustaz Ahmad Fathan Mahmood mengangkat sumpah sebagai anggota baru Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan.

Beliau mengangkat sumpah kira-kira jam 9.10 pagi tadi pada persidangan Dun di hadapan Speaker Dun, Datuk Abdullah Ya’kub.

Pada pilihan raya kecil Chempaka pada 22 Mac lepas Ustaz Fathan mengekalkan Dun berkenaan selepas mengatasi empat calon Bebas.

Beliau yang juga bekas pensyarah menggantikan Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada 12 Febuari lepas.

Turut menyaksikan majlis bersejarah itu Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan anggota-anggota Exco, penyokong kerajaan, pembangkang dan pegawai kerajaan.

Ustaz Fathan yang pertama kali menyertai persidangan Dun lengkap berpakaian baju Melayu hitam dan bersamping.

Sebelum itu Speaker mengumumkan Adun Salor, Datuk Husam Musa memohon cuti kerana masalah kesihatan.

Pada persidangan yang sama Dun Kelantan bersetuju menyambung perkhidmatan Khairiah Mohamad, 41 sebagai Senator sepenggal lagi.

Sebelum itu namanya dicadangkan Menteri Besar dan disokong Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Perkhidmatan Khairiah yang juga seorang peguam bagi penggal kedua bermula 1 Julai ini.  – HARAKAHDAILY 15/6/2015

Share on Myspace