Kekalkan BM sebagai bahasa pengantar di sekolah

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menolak cadangan sesetengah pihak untuk menjadikan Bahasa Inggeris sebagai aliran utama dalam persekolahan.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata sistem pendidikan perlu mengekalkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Jelas beliau, cadangan pemggunaan Bahasa Inggeria adalah salah, tidak berdasarkan realiti dan mengambarkan minda penjajah yang masih bersarang di dalam benak fikiran mereka.

"Setelah negara merdeka masuk ke-58 tahun dan kemajuan yang dicapai dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi melalui Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu telah diperakui oleh pelbagai pihak.

"Adalah tidak munasabah cadangan untuk berpatah balik kebelakang untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan negara," katanya melalui satu kenyataan.

Menurut beliau, sudah berkali-kali ahli bahasa dan pertubuhan bahasa menegaskan bahawa usaha untuk memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan tetapi tidak dengan menggantikan bahasa pengantar pendidikan negara dari Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris.

"Masalah kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris bukan terletak kepada faktor bahasa pengantar yang diguna dalam sistem pendidikan , tetapi ialah pendekatan pengajaran yang digunakan.

"Pendapat bahawa mata pelajaran Sains dan Matematik perlu diajar melalui pengantar Bahasa Inggeris sudah disangkal secara kajian ilmiah .

"Penguasaan Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda sudah terbukti berkesan dibanyak negara . Isu PPSMI telah diselesaikan dan tidak perlu ditimbulkan sekali lagi," katanya lagi.

Beliau yang turut berpendapat, cadangan menukar bahasa pengantar kepada Bahasa Inggeris adalah berlawanan dengan semangat bahasa  jiwa bangsa malah ia juga menafikan keupayaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa dunia.

Menurut beliau, seluruh rakyat telah sepakat untuk memartabatkan Bahasa Melayu selaras dengan perkara 152, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa kebangsaan 1967 yang menetapkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan penggunaannya sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran negara.

"Kerajaan telah menetapkan untuk mengambil pelbagai langkah untuk memperkasa dan memperluas penggunaan bahasa kebangsaan yang baik, betul dan santun dalam Perkhidmatan Awam. Kami berpendirian ini perlu diperkukuhkan disemua sektor.

"Kami menegaskan bahawa usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu memastikan bahasa tersebut menjadi bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa pentadbiran dalam usaha kita membina sebuah negara bangsa yang kukuh dan bersatu padu.

"Sistem pendidikan mempunyai peranan besar dalam memperkasakan bahasa kebangsaan dan memupuk semangat perpaduan nasional," sambung beliau.

Azmi yang juga menegaskan merubah dasar ini akan mengagalkan usaha membangun negara yang bersatu .

Menukar penggunaan bahasa kebangsaan kepada Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan akan merongkai penghayatan nilai-nilai perpaduan dan jati diri nasional yang ingin diterapkan.

Mapim yang turut memberi perhatian berat terhadap realiti bahawa walaupun  Malaysia sudah 58 tahun merdeka dan mempunyai dasar Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, namun negara kita masih tidak menonjol sebagai negara yang dihormati mendaulatkan bahasa kebangsaan di persada dunia antarabangsa .

"Padahal negara seperti  Jepun, China, Jerman, Korea dan Perancis yang dikatakan negara maju sangat jelas dasar dan amalannya memastikan bahasa tempatannya menjadi bahasa pengantar dalam sistem pendidikan dan pentadbiran negara.

"Kami kesal bahasa asing masih berleluasa dan dominan penggunaannya serta masih lagi digunakan di tempat-tempat awam, pusat pengajian tinggi awam dan swasta.

"Malah pemimpin-pemimpin  lebih berbangga bertutur dalam bahasa asing apabila berdepan dengan rakyat Malaysia dan mereka seolah-olah malu menggunakan Bahasa Melayu dan tidak rasa bersalah apabila menggunakan bahasa asing," sambung beliau lagi. – HARAKAHDAILY 15/6/2015

Share on Myspace