Banjir: Penempatan baru disetujui 4 Februari lalu

| .

 

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menjelaskan sepatutnya tidak berbangkit lagi masalah lokasi bagi mewujudkan penempatan baru mangsa banjir kerana ia sudah dipersetujui pada 4 Febuari lepas.

Mesyuarat tersebut diselaraskan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) turut dihadiri pelbagai pihak dan persetujuan dicapai bersama.

Anggota Exco, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata tiada bantahan diterima pada mesyuarat tersebut terhadap lokasi penempatan baru mangsa-mangsa banjir yang tiada lot sendiri.

Misalnya kata beliau di Guchil Kuala Krai telah dipersetujui tapak sekolah yang telah lama dilulus kepada Kementerian Pelajaran namun tidak digunakan sehingga sekarang, sebagai penempatan baru.

“Bagaimanapun selepas itu kementerian terbabit pula tidak bersetuju dengan cadangan tersebut sehingga lokasi lain terpaksa dicari.

“Ekoran itu tapak baru dikenal pasti di Chenulang di kawasan seluas 57 ekar bagi memuatkan 480 unit rumah jenis teres kepada mangsa banjir.

“Bagaimanapun Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir mahu rumah dibina dalam bentuk sebuah atau berkembar menyebabkan bilangan rumah dikurang kepada 345 unit,” katanya ketika menggulung rang undang-undang perbekalan tambahan pada persidangan Dun hari ini.

Abdul Fattah berkata penempatan baru yang dicadangkan kerajaan negeri terletak di kawasan lebih tinggi bagi mengelakkan banjir berulang.

Sebelum ini pemimpin Umno Kelantan kerap kali mengungkitkan masalah tanah sebagai punca pembinaan rumah kekal di bawah kerajaan pusat lambat dijalankan.

Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah (PAS-Limbongan) sebelum itu melahirkan rasa hairan terdapat lebih 500 rumah mangsa banjir yang memiliki geran, namun kerajaan pusat sehingga sekarang hanya menyiapkan 11 rumah kekal.

Di majlis lain Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah berkata kerajaan negeri berusaha melaksanakan tanggungjawab membina rumah mengikut perjanjian bersama dengan kerajaan Persekutuan.

“Bagaimanapun kerajaan pusat di bawah Majlis Keselamatan Negara agak perlahan dalam melaksanakan tanggungjawab itu.

“Saya tidak mahu menyebutnya satu persatu. Saya sebut secara umum sahaja kelewatan pembinaan rumah kekal di bawah kerajaan pusat,” katanya pada majlis penyerahan rumah mangsa banjir di Kampung Limau Nipis, Kemuning di sini semalam.

Kunci rumah itu diserah kepada Ramli Abdul Rahman, 62. 

Sementara itu rumah mangsa banjir di Cabang Tiga Lama, Kampung Pulai, Gua Musang sedang giat dibina di bawah Majlis Agama Islam Kelantan.

Timbalan Yang Dipertua PAS Gua Musang, Abdullah Husain berkata sebanyak 44 unit sedang dibina dan dijangka 16 daripadanya disiapkan menjelang sambutan Aidilfitri.

“Setiap rumah tersebut melibatkan kos kira-kira RM48,000 diberi percuma kepada mangsa-mangsa banjir yang tiada lot sendiri di Gua Musang,” katanya ketika ditemui di tapak projek petang semalam. - HARAKAHDAILY 15/5/2015

Share on Myspace