Projek rumah rakyat gamatkan Dun Kelantan

| .

KOTA BHARU: Pendedahan berulang kali Harakahdaily dan Harakah isu Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Gua Musang turut menarik perhatian persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini.

Malah berlaku seketika ketegangan antara ketua pembangkang Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) dengan penyokong kerajaan Datuk Hassan Mohamood (PAS-Tawang).

Hassan mempersoalkan mengapa sebahagian mangsa banjir yang masih lagi mendiami khemah di tapak Bandar Utama tidak dipindahkan ke PPR yang sudah lama siap.

Bagaimanapun Nozula menjelaskan senarai pembeli rumah berkenaan sudah ada, namun tidak boleh diberi sebarangan kepada setinggan yang menjadi mangsa banjir.

“Maksud saya setinggan yang ada dalam senarai sepatutnya diberi kebenaran memasuki rumah berkenaan kerana ia sudah lama disiapkan,” kata Hassan sambil meminta Nozula menyerahkan senarai dimaksudkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata sebelum ini menteri meminta supaya mangsa-mangsa banjir dipindahkan ke PPR.

Katanya, kenyataan menteri terbabit sudah diketahui umum sebagai salah  satu kaedah bagi menyelesaikan masalah dihadapi mangsa-mangsa banjir di Gua Musang.

Menurutnya PPR mengandungi 1,000 unit rumah yang sudah disiapkan lebih setahun lalu.

“Lagi pun sebelum ini sudah dipersetujui bersama sebanyak 708 penduduk yang memohon PPR diambil menduduki rumah berkenaan.

“Malangnya saya difahamkan senarai itu tidak pula dipersetujui Umno Gua Musang sehingga menyebabkan pembelinya tidak dimuktamad sehingga sekarang.

“Oleh itu saya meminta jasa baik Adun Paloh untuk memujuk Ketua Umno Gua Musang bagi menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.

Pada 19 Januari lalu Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dilaporkan berkata sebanyak 500 daripada 1,000 unit PPR di Gua Musang akan ditawarkan kepada mangsa banjir yang kehilangan rumah.

Abdul Fattah juga berkata setidak-tidaknya seramai 38 mangsa banjir yang berada dalam senarai memiliki PPR dibenarkan pindah ke situ memandangkan rumah tersebut sudah lama siap.

Malah kata beliau difahamkan ada unit di PPR rosak kerana dimasuki pihak tidak bertanggungjawab kerana belum diduduki penghuninya. - HARAKAHDAILY 15/6/2015

Share on Myspace