Adun PAS Selangor gesa kukuhkan Pakatan Rakyat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pertemuan Ahli-Ahli Dewan Negeri PAS dari Selangor hari ini menggesa agar usaha-usaha dilakukan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata ia selaras dengan ucapan dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 lalu yang menegaskan bahawa PAS komited terhadap Pakatan Rakyat.

"Di dalam satu pertemuan di Shah Alam, kami bersetuju agar semua pihak mesti berusaha untuk memulihkan hubungan di dalam pakatan tersebut.

"Walaupun terdapat banyak cabaran tetapi kami yakin ketiga-tiga parti berupaya menangani sebarang masalah yang timbul dengan bijaksana melalui perundingan," ujarnya dalam satu kenyataan.

PAS negeri juga, ujar beliau menggesa agar hubungan di peringkat akar umbi dijalin dan diperkukuhkan.

"Negara kita sedang berhadapan dengan pelbagai krisis dan rakyat semakin tertekan akibat kos sara hidup yang meningkat," katanya yang juga exco kerajaan negeri.

Tambahnya, Pakatan Rakyat merupakan sinar harapan bagi rakyat dan keyakinan yang telah diberikan oleh mereka selama ini tidak seharusnya disia-siakan.

Di Selangor, ujar beliau rakyat telah dapat menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik menerusi dasar bersama Pakatan Rakyat yang menitikberatkan ketelusan, memerangi rasuah, peluang ekonomi yang adil, kediaman mampu milik dan polisi-polisi baru yang lain.

Menurutnya, usaha-usaha di negeri itu di bawah kepimpinan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali perlu diteruskan agar Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor terus kukuh demi kebajikan dan masa depan rakyat.

"Semoga kecemerlangan Pakatan Rakyat di Selangor akan menjadi contoh dan pendorong kepada seluruh rakyat Malaysia membuat keputusan untuk menamatkan keangkuhan Barisan Nasional," ujarnya yang juga Naib Presiden PAS. - HARAKAHDAILY 15/6/2015

Share on Myspace