Hudud: Nazri serlah sikap dolak dalik Umno - Mahfuz

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Rakyat khususnya orang Melayu Islam melihat Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz sama sahaja seperti Datuk Seri Najib Razak hanya tahu beretorik dan melaung slogan indah demi menyaingi perjuangan PAS untuk memartabatkan Islam.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyatakan demikian merujuk kenyataan Nazri bahawa Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang perlu mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkan Rang Undang-Undang Persendirian yang berkaitan dengan pelaksanaan hudud dapat dibahaskan di Parlimen.

"Sungguh menghairankan saya apabila melihat dolak-dalik pemimpin Umno dalam hal ini," ujarnya dalam satu kenyataan.

Pada satu sisi, katanya Umno mendakwa ingin memartabatkan Islam di tanah air, tetapi pada sisi yang lain mereka mencari 1001 alasan untuk mengelak daripada melaksanakan tanggungjawab mereka.

Tambahnya, umum mengetahui Umno BN adalah parti pemerintah di peringkat kerajaan persekutuan sedangkan PAS adalah parti pembangkang.

Beliau berkata, tanggungjawab kerajaan pimpinan Umnolah yang sepatutnya mengangkat martabat Mahkamah Syariah sepertimana yang terkandung dalam cadangan pindaaan Akta Mahkamah Syariah 1965 yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang.

Menurutnya, Perdana Menteri yang sering berbangga dengan laungan pendekatan wasatiyyah dan prinsip Maqasid Syariah perlu membuktikan dengan tindakan iaitu menasihati Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja agar memperkenankan pindaan rang undang-undang bagi menaiktaraf dan memperluas bidang kuasa Mahkamah Syariah yang kini masih lagi rendah berbanding Mahkamah Sivil.

Katanya, kesungguhan dan keikhlasan Ahli Parlimen Marang yang membawa Rang Undang-Undang Persendirian itu sepatutnya disambutbaik oleh pihak kerajaan dengan menteri memberikan sokongan agar laluan dapat diberikan untuk ia dibentang, dibahaskan dan diluluskan di Parlimen.

"Apabila melihat Nazri punyai keberanian menegur kerabat diraja, maka beliau juga sepatutnya berani juga untuk menasihati Najib agar mengotakan janji Umno untuk memartabatkan Islam di Malaysia ini," ujarnya.

Apatah lagi, ujar beliau Nazri adalah berkelulusan undang-undang dan pernah menjawat menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahagian hal ehwal undang-undang.

"Beliau pasti sedar dan tahu bahawa Akta Mahkamah Syariah itu adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan maka nasihat inilah yang perlu disampaikan kepada Najib. - HARAKAHDAILY 15/6/2015

Share on Myspace