Lebuh raya: Pusat baru sedar peranan di Kelantan

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Sehingga kini sejauh 5.5 km projek lebuh raya rakyat Machang-Kuala Krai dilaksanakan kerajaan bermula di Bukit Tiu, kata anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Hanifa Ahmad.

Beliau berkata pembinaan lebuh raya itu akan diteruskan sejauh 10 km sehingga ke Berangan Mek Nab.

Menurutnya sehingga kini sebanyak RM1.16 juta telah dibayar kerajaan negeri termasuk pengambilan balik tanah dan upah konsultan.

“Bagaimanapun berdasar mesyuarat di JKR pusat pada Mac lepas Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri menyatakan hasrat untuk membina lebuh raya Machang-Kuala Krai.

“Malah Perdana Menteri telah mengumumkan projek berkenaan ketika membentang Rancangan Malaysia ke-11 di parlimen baru-baru ini,” katanya menjawab soalan Roseli Ismail (PAS-Kemuning) pada persidangan Dun hari ini.

Projek tersebut termasuk pakej Central Spine Road dari Simpang Pelangai, Pahang ke Kota Bharu. Pembinaan jalan baru dan menaik taraf jalan dari Kuala Krai ke Simpang Pelangai dilulus pada RMK-10.

Hanifa berkata, Perdana Menteri mengumumkan projek lebuh raya Simpang Pelangai ke Kota Bharu sejauh 475 km.

Oleh itu kata beliau berdasar kepada komitmen tersebut kerajaan negeri pada dasar bersedia menyerah baki lagi projek berkenaan iaitu sejauh 20.5 km dari Berangan Mek Nab ke Kuala Krai dilaksanakan kerajaan pusat.

“Ini setidak-tidaknya dapat menyelamatkan kos pembinaan yang terpaksa ditanggung kerajaan negeri sebelum ini iaitu sebanyak RM400 juta.

“Kita merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan pusat kerana sedar terhadap tanggungjawab tersebut selaras Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan.

“Mungkin kesungguhan kerajaan negeri membina lebuh raya tersebut menyebabkan kerajaan pusat mulai rasa terpanggil bagi membinannya,” kata beliau.

Menurutnya juga sehingga sekarang sebanyak RM3.28 juta disumbang orang ramai mengisi dana wakaf lebuh raya rakyat yang akan digunakan bagi membina lima jambatan di sepanjang laluan 10 km. - HARAKAHDAILY 15/6/2015

Share on Myspace