Doakan kapal tangki MT Orkim Harmony selamat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Mari bersama berdoa untuk keselamatan anak-anak kapal dan semoga kapal tangki tersebut kembali dijumpai," ujar Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Beliau berharap semoga operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjalan lancar, selamat dan berjaya.

Katanya, kehilangan kapal tangki berdaftar di Malaysia MT Orkim Harmony itu yang membawa muatan petrol RON95 begitu mendukacitakan.

Ia dipercayai hilang pada kedudukan 30 batu nautika timur Tanjung Selidi, Kota Tinggi pada awal pagi 12 Jun yang lalu.

Kapal tangki yang membawa kira-kira 6,000 tan metrik petrol itu dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan.

Tambahan pula, ia dianggotai 22 orang kru, 16 orang daripadanya adalah warganegara Malaysia, lima orang warganegara Indonesia dan bakinya berwarganegara Myanmar.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu menambah, kehilangan kapal tangki tersebut merupakan satu tragedi kepada negara.

"Episod duka ini berterusan melanda negara sejak kehilangan pesawat MAS jenis MH370 tahun lalu," ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, ujar beliau operasi mencari dan menyelamat perlu dipergiatkan di semua peringkat.

Selain itu, katanya kerjasama dari negara jiran juga amat ditagih bagi memudahkan usaha pencarian tersebut.

"Kita juga harus berwaspada dengan sebarang aktiviti lanun yang tidak mustahil bertapak di perairan tersebut dan menjadi punca kehilangan kapal terbabit," katanya lagi.

Menurut laporan media, kawasan pencarian diperluas sehingga meliputi 50,000 kilometer persegi dan merentasi sepanjang perairan Tanjung Penawar hingga ke Mersing.

Ia juga berkemungkinan merentasi ke sempadan perairan negara jiran. - HARAKAHDAILY 16/5/2015

Share on Myspace