Selangor sedia hadapi musim kering

SALMIYAH HARUN | .

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor bersedia dengan beberapa langkah mitigasi untuk menghadapi musim kering yang telah pun bermula.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian, dan Industri Asas Tani Zaidy Abdul Talib beberapa inisiatif telah dan akan terus dilaksanakan untuk memastikan kesinambungan bekalan air serta kesediaan sumber air tidak terjejas di Selangor.

Katanya, menerusi operasi pembenihan awan (cloud seeding) yang telah bermula pada 21 Februari 2015 di beberapa kawasan tadahan dan lembangan sungai bagi meningkatkan kuantiti sumber air.

"Buat masa ini cuaca masih sesuai untuk operasi dijalankan dan sebanyak 160 kali operasi telah dijalankan setakat ini sehingga bulan Mei 2015. Anggaran kos yang terlibat sehingga kini adalah RM 2 juta," katanya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, kerajaan juga meneruskan serta menguruskan operasi pengepaman air dari kolam takungan di sekitar Bestari Jaya tanpa mengabaikan soal kualiti sumber air tersebut.

"Terdapat 10 kolam yang digunakan dengan kapasiti takungan terkini sebanyak 84 juta meter padu dan keupayaan pengeluaran sehingga 800 JLH.

"Berdasarkan perkiraan dengan jumlah pengeluaran tersebut, kesemua kolam alternatif berkenaan dapat membekalkan air selama 105 hari sebelum ia kering," katanya.

Selain itu jelasnya pihak kerajaan juga mengawal pelepasan air empangan bagi memastikan pelepasan dilaksanakan secara optimum dengan mengambil kira sumber air sedia ada.

Berdasarkan perkiraan sumber air sedia ada dan jumlah pelepasan semasa 200 JLH tanpa hujan, anggaran jangka hayat takungan empangan sehingga ke tahap simpanan kritikal adalah 114 hari bagi Empangan Klang Gates, 266 hari bagi Empangan Langat, 262 hari bagi Empangan Tasik Subang, 170 hari bagi Empangan Batu, dan 230 hari bagi Empangan Semenyih.

Manakala dengan pelepasan maksimum 1200 JLH, Empangan Sungai Selangor dapat bertahan sehingga 91 hari dan Empangan Sungai Tinggi selama 51 hari dengan pelepasan maksimum 1000 JLH.

Tambahnya, kerajaan akan memindahkan air dari terowong Langat 2 ke Sungai Langat yang bertujuan untuk memberdaya ketahanan Sungai Langat untuk Loji Rawatan Air Sungai Langat, Bukit Tampoi dan Cheras Batu 11.

Selain mengadakan kerjasama erat antara agensi Kerajaan Negeri Selangor untuk memantau dan mengawal bagi mengelakkan berlakunya pencemaran sumber air.

Pihaknya juga menjalankan penguatkuasaan yang tegas melalui pemantauan yang berterusan di sepanjang sungai yang terlibat dalam pembekalan air mentah iaitu Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Semenyih termasuk semasa waktu cuti dan musim perayaan.

Sehingga hari ini (15 Jun 2015), kapasiti takungan semua empangan Negeri Selangor berada di dalam keadaan baik melebihi paras 70%. Berikut adalah status semasa kapasiti ketujuh-tujuh empangan Negeri sehingga 15 Jun 2015;

i. Empangan Sg. Selangor : 79.41%
ii. Empangan Sg. Tinggi : 77.06%
iii. Empangan Sg. Semenyih : 100.06%
iv. Empangan Sg. Langat : 70.55%
v. Empangan Batu : 72.04%
vi. Empangan Klang Gates : 81.16%
vii. Empangan Tasik Subang : 100%

Kerajaan Negeri Selangor yakin dengan keupayaan takungan empangan untuk menyediakan sumber air mentah yang mencukupi sepanjang musim kering yang bermula pada bulan Jun ini.

Kapasiti empangan terkini menunjukkan paras yang lebih tinggi berbanding tempoh masa yang sama pada tahun lepas. Contohnya pada 15 Jun 2014, paras Empangan Sungai Selangor mencatatkan bacaan pada 43.71% berbanding pada tarikh yang sama tahun ini iaitu sebanyak 79.41%.

Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi adalah merupakan empangan utama dalam pembekalan air di Negeri Selangor iaitu meliputi 60% daripada jumlah pembekalan air di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Berdasarkan rekod, katanya, penggunaan air per kapita bagi rakyat di Negeri Selangor adalah pada kadar yang tinggi iaitu sebanyak 235 liter sehari.

Kerajaan Negeri Selangor menyeru semua pengguna supaya mengurangkan per kapita penggunaan air setiap isi rumah, lebih-lebih lagi di musim kering dan perayaan yang bakal tiba tidak lama lagi.

Justeru, dengan langkah-langkah yang dilaksanakan tegasnya Kerajaan Negeri Selangor yakin bekalan air di Negeri Selangor dapat dibekalkan kepada pengguna secara berterusan. – HARAKAHDAILY 16/5/2015

Share on Myspace