Tahniah buat gimnas Farah Ann tapi pakaian...

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengucapkan jutaan tahniah buat atlet gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi kerana berjaya merangkul pingat emas dalam Sukan Sea di Singapura baru-baru ini.

Ketua Penerangan DMPM, Wan Hasrina Wan Hassan berkata, pihaknya turut berbangga kerana Farah Ann mampu mengharumkan nama Malaysia di persada sukan gimnastik Asia.

Berkenaan isu pemakaian yang hangat diperkatakan baru-baru ini di media sosial, katanya DMPM berpendapat bahawa isu pemakaian ahli gimnastik atau ahli sukan lain bukanlah suatu perkara baru.

"Walau bagaimanapun, cara pemakaian ini perlulah dipandang serius kerana ia melibatkan aurat muslim tidak kira kaum perempuan mahupun lelaki," ujarnya dalam satu kenyataan.

Ini, jelas beliau sejajar dengan seruan Allah dalam surah Al-Ahzab: 59 yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kamu dan isteri-isteri orang mukmin, “Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.” Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal yang dengannya mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Menurutnya, Islam tidak menolak aktiviti sukan bahkan Islam menggalakkan aktiviti yang boleh mendatangkan kesihatan yang baik kepada umatnya.

Islam juga, kata beliau meraikan bakat dan potensi seseorang serta mengiktiraf kebolehan dan kehebatan wanita tetapi semua kurniaan Allah mesti digarap dalam ruang lingkup syariat,halal dan haram demi menjaga maruah wanita Islam.

Oleh itu, ujar beliau DMPM menyeru kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Belia dan Sukan supaya menyemak kembali etika pemakaian ahli sukan muslim supaya ia selaras dengan tuntutan syarak.

Beliau berkata, sudah sampai masanya Jakim perlu menyediakan etika pemakaian menurut Islam untuk para atlet lelaki dan wanita.

"Dengan ini dapat mengharumkan lagi nama Malaysia sebagai negara Islam sebagaimana yang dipertegaskan selama ini.

"Dengan penguatkuasaan etika pemakaian ini, ajaran lslam dapat dipraktikkan secara menyeluruh di Malaysia," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 16/6/2015

Share on Myspace