Tol: Jangan terus peras rakyat dengan 'bayaran paksa'

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS mendesak supaya perjanjian konsesi distruktur semula dan hasil kajian terus diperincikan sehingga tol boleh dihapuskan secara berperingkat-peringkat.

"Jangan lagi terus memeras keringat rakyat dengan pelbagai 'bayaran paksa' yang tidak diredhai oleh rakyat," ujar AJK PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Katanya, Perdana Menteri marah kerana terdapat pihak yang telah membocorkan maklumat cadangan kenaikan kadar tol sebelum mesyuarat kabinet Jumaat lepas.

Walau bagaimanapun, cadangan telah dikemukakan oleh Kementerian Kerja Raya dan keputusan dijangka akan diumumkan sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, menurut maklumat awal yang telah dilaporkan akhbar Berita Harian 12 Jun 2015, kabinet pernah menangguhkan keputusan untuk menaikkan kadar tol pada November tahun lalu dan kini setelah mendapat tekanan daripada pihak konsesi, ia dijadual akan berkuatkuasa pada Ogos ini.

"Kerajaan dicabar untuk mendedahkan hasil Mekanisme Kajian Tol (TRM) sepertimana yang terdapat dalam perjanjian konsesi lebuh raya sebelum membuat keputusan menaikkan kadar tol," ujarnya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Temerloh itu menambah, kerajaan jangan terus menyeksa rakyat dengan kenaikan kadar tol dan rakyat juga tidak mahu ratusan juta ringgit dibayar dengan mudah kepada pemilik konsesi lebuh raya.

Katanya lagi, kerajaan telah membayar kira-kira RM1.5 bilion (2008-2014) sebagai pampasan kepada semua pemegang konsesi kerana tidak menaikkan kadar tol.

Persoalannya, ujar beliau adakah mereka mengalami kerugian jika kadar tol tidak dinaikkan? Sebagai contoh, pemegang konsesi bagi Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lingkaran Trans Kota Holdings Berhad mencatat peningkatan keuntungan keseluruhan sejak dari tahun 2012 hingga 2014. (2012: RM83.1 juta | 2013: RM 130.7 juta | 2014: RM 134.1 juta)

Walhal, ujar beliau kerajaan telah memberikan sejumlah RM257.78 juta kepada LDP sejak 2008 hingga 2013 dalam bentuk pampasan.

Tambahnya, ini menunjukkan sama ada pihak konsesi menerima pampasan atau kenaikan kadar tol, mereka tetap terus mengecapi keuntungan yang mewah.

Justeru, beliau menggesa kerajaan supaya menghayati firman Allah swt:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi, peras paksa dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu. (Surah An Nisa': 29) - HARAKAHDAILY 16/6/2015

Share on Myspace