Sedih keputusan Mazlan, PAS terus kerjasama dengan Anak

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Secara peribadi, saya sedih dengan keputusan yang dibuat oleh sahabat saya Mazlan Aliman," ujar Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Justeru, beliau dapat memahami perasaan Mazlan dan turut merasai luka parah di hatinya.

"Oleh itu saya menghormati hak dan pendirian beliau.

"Insya Allah bagi pihak PAS, kita akan terus memberikan kerjasama kepada Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) bagi memperjuangkan hak dan nasib warga Felda khususnya dan pelbagai agensi lain," katanya dalam satu kenyataan.

Kini, ujar beliau FGV berhadapan dengan krisis yang sangat kritikal, kejatuhan harga saham FGV semalam ke paras RM1.65, tahap yang terendah sejak disenaraikan.

Bahkan, katanya pengumuman pembelian 37% kepentingan di dalam PT Eagle High Plantations TBK bernilai US$680 juta (RM2.5 bilion), sebuah syarikat perladangan ketiga terbesar di Indonesia juga gagal melonjakkan harga saham melepas RM1.86 sewaktu ia digantung.

Tambahnya, lebih malang apabila KPF mengumumkan kadar dividen 10% adalah yang terendah dalam tempoh 17 tahun.

Kata beliau lagi, keyakinan pelabur berada di tahap yang sangat rendah, lebih-lebih lagi pembelian kepentingan dlm EHP milik konglomerat Rajawali milik Peter Sondakh ini menimbulkan 'banyak kesangsian'.

Ini, ujar beliau kerana ia diselubungi hubungan akrab Sondakh dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, dan isterinya, Rosmah Mansor dan kebetulan FGV mengalami kemerosatan keuntungan sebanyak 98% pada suku pertama 2015.

Dengan kata lain, ujar beliau pelabur sudah hilang keyakinan kepada pengurusan tertinggi FGV yang diketuai Tan Sri Isa Samad.

Justeru, kata beliau tekanan dan desakan agar Isa diturunkan perlu diteruskan.

"Sehubungan itu, PAS akan terus mendedahkan pelbagai kelemahan yang sedang berlaku dan mendoakan Anak akan terus berjaya sebagai sebuah NGO yang membela nasib warga Felda," ujarnya. - HARAKAHDAILY 16/5/2015

Share on Myspace