Mohon geran tanah perlu lalui temuduga

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Sebelum ini ada rakyat Kelantan memohon hak milik tanah sehingga sembilan ekar setiap seorang.

“Sedangkan keluasannya begitu terhad. Keadaan itu tidak sesuai lagi berikutan permohonan hak milik tanah daripada orang ramai begitu tinggi.

“Sekarang hanya tiga ekar dilulus bagi setiap permohonan. Bagaimanapun ia bergantung pada keperluan keluarga pemohon,” kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Menurutnya kerajaan negeri terpaksa mengurangkan kelulusan keluasan permohonan tanah memandangkan saiz tanah kerajaan yang ada semakin terhad.

“Ada pula pemohon hanya memohon hak milik sedangkan mereka tidak berhasrat untuk tinggal di Kelantan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Ramzi Ab Rahman (BN-Dabong) pada persidangan Dun hari ini.

Mohd Amar juga berkata bermula tahun lepas kerajaan negeri mensyaratkan setiap pemohon tanah perlu melalui proses temuduga bagi mengetahui sejauhmana keperluan mereka membuat permohonan tanah.

Menjawab soalan Rohani Ibrahim (PAS-Tanjong Mas) Mohd Amar juga memberitahu tunggakan hasil cukai tanah seluruh jajahan sekarang sebanyak RM17.1 juta.

Tunggakan tersebut bagi jajahan Kota Bharu sebanyak RM7.1 juta, Kuala Krai (RM2.5 juta), Pasir Mas dan Tanah Merah masing-masing (RM1.5 juta),

Pasir Putih (RM900,000), Machang (RM921,000), Bachok (RM613,000), Tumpat (RM322,000), Gua Musang (RM691,000) dan Jeli (RM700,000).

Sementara itu kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta bagi melaksanakan program pertanian sebagai alternatif bagi menggantikan tembakau.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Md Nawi berkata, program berkenaan melibatkan jajahan Bachok, Pasir Mas dan Pasir Puteh.

Katanya, sebanyak 16 lokasi disedikan untuk projek integrasi di kawasan seluas 9 hektar membabitkan 69 petani.

Menjawab soalan Mohd Huzaimy Che Husin (PAS-Perupok) katanya tanaman alternatif menggantikan tembakau iaitu kenaf, ubi keledek, padi dan jagung. - HARAKAHDAILY 16/6/2015

Share on Myspace