Selamatkan tanah warisan penduduk Miriek

| .

MIRI: Masalah pertikaian tanah antara pemaju dan kaum Jati Miriek masih belum dapat diselesaikan. Pemaju telah meletakkan papan tanda larangan masuk di tanah para pekebun di Pujut Padang Kerbau. Para pekebun telah mengadu hal ini kepada pihak kami agar masalah mereka diberi perhatian yang sewajarnya oleh pihak berkuasa.

Mereka khuatir kalau pihak berkuasa tidak campur tangan dalam masalah pertikaian ini dengan segera mungkin ianya boleh mencetus perkara yang tidak diingini berlaku diantara pemaju dengan penduduk kampung yang memiliki tanah tersebut. Seramai lebih dari 2000 penduduk termasuk ahli keluarga mereka akan terjejas sekiranya masalah ini tidak dapat diselesaikan dengan baik menurut penduduk yang kami temui.

Walaupun sebelum ini wakil penduduk kampung Pujut bersama dengan wakil rakyat menyuarakan masalah mereka dengan pegawai di Jabatan Tanah dan Ukur Miri tetapi sehingga kini masalah tersebut masih belum dapat diselesaikan dengan baik diantara penduduk kampung dan pemaju.

Kita telah melawat kawasan tapak pertanian penduduk kampung Pujut yang seluas lebih dari seribu ekar itu dan penduduk mendakwa yang status tanah tersebut adalah tanah NCR. Sebelum ini mereka juga pernah menghadapi masalah dengan pemaju dimana pemaju telah menceroboh tanah pertanian mereka semasa menyambut awal bulan syawal beberapa tahun yang lalu. Tanah pertanian mereka telah dimusnahkan dan mereka hanya diberi ganti rugi yang tidak berbaloi dengan usaha mereka selama ini.

Mereka tidak mahu peristiwa lalu berulang kembali dan mereka akan terus mempertahankan tanah mereka dengan apa cara sekali pun sebab itulah satu-satunya tanah warisan datuk nenek moyang mereka yang masih tinggal untuk diwarisi oleh generasi akan datang. Mereka mahu pihak berkuasa dapat mencegah pihak pemaju dari terus menceroboh tanah warisan mereka dari diambil oleh pihak pemaju dan mereka mahu pihak berkuasa memberi mereka hak milik yang kekal keatas tanah tersebut.

Orang Miriek sudah turun temurun menetap di Miri sebelum kedatangan pemaju yang bukan asal dari Miri datang melabur disitu. Kubur lama keturunan mereka juga ada sebagai bukti mereka sudah lama menetap disitu, Mengapa pemaju yang datang dari luar dengan mudah mendapat tanah warisan mereka sedangkan mereka sudah banyak kali memohon hak milik tanah tetapi pemohonan mereka sentiasa kurang mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak yang berkenaan.

Kebanyakan penduduk Miriek yang tinggal di Pujut adalah petani dan tanpa tanah tempat mereka bercucuk tanam sudah tentu sukar bagi mereka mencari hasil pendapatan untuk menyara kehidupan harian dari hasil petanian mereka. Mungkin satu hari nanti, generasi mereka akan hidup seperti ‘Red Indian’ menumpang di tanah air sendiri sekiranya semua tanah warisan mereka diberi kepada pihak pemaju.

Kita mengesa pihak berkuasa khususnya Datuk Petinggi Tan Sri Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak perlu melakukan sesuatu untuk menyelesaikan dan menyelamatkan tanah warisan Miriek ini dari pupus dan jatuh ketangan golongan kapitalis yang hanya mencari keuntungan tanpa memperdulikan nasib kaum asal di tanahair Sarawak ini

Pihak berkuasa perlu juga menyiasat mengapa masalah tanah penduduk asal semakin banyak dijual atau dimiliki oleh orang asing dan dimiliki oleh mereka yang ada kepentingan dengan pihak tertentu. Mengapa penduduk asal sukar untuk mendapat hak milik tanah dan pihak pamaju pula dengan mudah diberi tanah berstatus hak milik?

Persoalannya sekarang siapa yang mengadaikan tanah warisan penduduk Miri di Pujut dan siapa yang bertanggunjawab memberi hak milik kepada pemaju untuk mengambil tanah mereka? Mengapa apabila penduduk asal memohon hak milik tanah sukar untuk diluluskan?

Kalau perkara ini tidak dibendung dari awal tidak mustahil satu hari nanti penduduk asal di Sarawak seperti kaum ‘Red Indian’ di Amerika dimana mereka jadi kaum yang terpinggir dari arus pembangunan dan mereka tidak memiliki tanah sendiri untuk diusahakan. Mereka tidak mampu hendak membeli rumah dari pemaju yang terlalu mahal dan sukar untuk mencari rezeki selain bercucuk tanam.

Kita mencadangkan kepada pihak berkuasa terutama kepada Ketua Menteri Sarawak, agar setiap penduduk Sarawak yang tiada tempat tinggal dan tiada tempat untuk bercucuk tanam perlu diberi tanah lot untuk meneruskan kehidupan harian mereka. Hak milik tanah orang Melayu dan Bumiputera asal Sarawak perlu diwartakan dan dilarang dijual dengan pelabur asing. Mereka hanya boleh menjual dikalangan ahli keluarga dan bangsa mereka sendiri.

Harap masalah penduduk asal atau penduduk tempatan di Miri khususnya yang tidak memiliki tanah sendiri perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. - HARAKAHDAILY 17/6/2015

Share on Myspace