MB Kelantan, Selangor serah kunci rumah mangsa banjir

HARAKAHDAILY | .

KUALA KRAI: Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali hadir di Simpang Tiga Manek Urai pagi ini bagi menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kekal 'Desa Darul Ehsan'.

Perumahan bagi penempatan mangsa banjir ini telah disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor yang akan dibina sebanyak 60 unit rumah di tapak berkenaan.

Turut hadir ialah exco perumahan dan barisan exco bagi kedua-dua negeri.

Menurut Azmin, pembinaan 60 unit Rumah Darul Ehsan dengan kos hampir RM6 juta itu atas rasa tanggungjawab Selangor membantu rakyat Kelantan yang memerlukan pembelaan selepas kehilangan tempat berteduh akibat bencana banjir, pada Disember lalu.

Katanya, Selangor mencatat pertumbuhan ekonomi yang baik, tetapi ia tidak membawa sebarang makna jika kekayaan itu gagal diagih secara adil bukan sahaja kepada rakyat negeri ini, bahkan mereka yang memerlukan bantuan dan pembelaan.

“Kerajaan Kelantan tunjukkan kesungguhan membangunkan negeri walaupun dalam keadaan terbatas.

“Maka, menjadi tanggungjawab Selangor membantu sementara mempelajari dari Kelantan bagaimana dapat bangunkan modal insan melalui prinsip adil, bersih dan peduli rakyat,” katanya. - HARAKAHDAILY 17/6/2015

Share on Myspace