Usah cemari bazar Ramadhan dengan insiden tak bermoral

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Bazar Ramadhan di negara ini telah menjadi sebahagian keperluan penting sosial masyarakat setiap kali tiba bulan puasa.

Ini bermakna, peniaga bazar mempunyai peranan besar dalam agenda menjayakan Ramadhan iaitulah membantu masyarakat Muslim menghayati dan beramal untuk menyempurnakan Ramadhan sebagai bulan ibadah.

"Ini dilakukan dengan turut serta beramal memenuhi tanggung jawab dan tuntutan Ramadhan sebagai seorang peniaga," ujar Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah, Mohd Azam Abd Samat.

Antaranya, kata beliau menjual makanan untuk tujuan berbuka pada waktu yang munasabah agar tidak menjadi subahat kepada golongan ponteng puasa mengambil kesempatan.

Ini, tambahnya sekaligus menjadi dakwah amar makruf nahi munkar dari golongan peniaga.

Katanya lagi, para peniaga selain menyedia jualan makanan yang halal, suci dan bersih, dinasihatkan supaya menjual hanya makanan segar dan bukannya 'kitar semula'.

"Bagi memastikan jualan tidak semata-mata bermotif keuntungan, tetapi juga menjadi ibadah, maka lebihan makanan yang tidak terjual disyorkan supaya disedekah kepada golongan fakir miskin dan anak yatim," ujarnya yang juga Adun Sungai Limau.

Menurutnya, sedekah bukanlah satu kekurangan, sebaliknya ia adalah kelebihan yang membawa keberkatan dan balasan curahan rezeki serta pahala besar dari Allah kepada setiap pemberian ikhlas, bahkan ianya adalah amalan paling disukai Rasulullah SAW.

Beliau juga menasihatkan para peniaga tidak menjual barangan yang rosak serta mengurangi timbangan semasa urusan jual beli.

Ini, katanya kerana kejujuran adalah ibadah keikhlasan sementara silaturrahim tidak terhad antara peniaga dan pembeli.

Dalam realiti persaingan, ujarnya para peniaga perlu membantu dan meraikan hak para peniaga lain supaya dapat menjalankan perniagaannya.

Tambahnya, tapak yang disewa untuk berniaga, jangan dialibabakan.

Justeru, kata beliau pihak berkuasa yang membuka sewaan tapak perlu memantau hal ini.

Bagi memastikan semua peniaga dapat menjalankan urusannya, kata beliau ketetapan dan peraturan dibuat pihak berkuasa mestilah dipatuhi.

Kata beliau lagi, pihak berkuasa yang mengendalikan bazar dituntut supaya memudahkan peniaga serta menggunakan budi bicara dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

"Jangan dicemari bazar Ramadhan dengan insiden tingkah laku tidak bermoral," pesannya.

Tambahnya, tapak bazar mestilah diurus jaga kebersihannya agar ia tidak menjadi fitnah kepada Islam dari pandangan yang tidak menyenangkan masyarakat awam.

Pihak berkuasa juga, ujar beliau perlu menyediakan kemudahan solat dan wuduk yang selesa untuk peniaga dan pengunjung di setiap baazar.

"Peringatan mengenai solat mestilah dititipkan kerana ia adalah ibadah utama di samping juga nasihat mengenai aurat yang terjaga," katanya. - HARAKAHDAILY 17/6/2015

Share on Myspace