PAS tambah ahli, tidak terjejas dengan Pasma

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

MARANG: PAS Terengganu berjaya menambah jumlah ahli baharunya seramai 889 orang selepas Muktamar Tahunan PAS Ke-61 yang melibatkan lima kawasan seluruh negeri.

Pengumuman dan penyerahan borang keahlian baharu itu disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat kepada Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan pada Himpunan Istiqamah Hingga Kemenangan di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, malam tadi.

PAS Kawasan Setiu paling ramai berjaya mendaftarkan keahlian baharu parti itu seramai 380 orang dan diikuti Dungun (210), Besut (107, Marang (102) dan Kuala Terengganu (90).

Pengerusi himpunan tersebut, Dr Ridhuan Mohd Nor menyifatkan penyertaan keahlian baharu parti itu hasil dari provokasi berterusan Persatuan Kebajikan Ummah Sejahtera (Pasma) terhadap PAS.

Beliau menyifatkan dakwaan Pasma kononnya ribuan ahli PAS akan meninggalkan parti dan menyertai parti baharu itu tidak menjejaskan PAS.

"Pada malam ini, kita akan menerima penyerahan borang keahlian baharu yang menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS) seramai 889 orang dari lima kawasan PAS iaitu Setiu, Dungun, Besut, Marang dan Kuala Terengganu.

"PAS tidak terjejas dengan kewujudan NGO Pasma yang kononnya ribuan ahli PAS akan keluar parti dan menyertai parti baharu selepas Idulfitri akan datang.

"Kita yakin keahlian parti boleh mencapai sasaran seramai 1.5 juta ahli baharu menjelang dua tahun akan datang, insya Allah," tegasnya di hadapan lebih 10,000 hadirin.

Hadir sama pada majlis himpunan tersebut sebahagian dari kepimpinan PAS Pusat yang baharu terpilih pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-61 di Stadium Tertutup Kuala Selangor, 4 hingga 6 Jun lalu. - HARAKAHDAILY 17/6/2015

Share on Myspace