Pakatan masih boleh diselamatkan - Azmin

ASLANI M | .

KUALA KRAI: Berbeza dengan pendekatan DAP yang menganggap Pakatan Rakyat sudah tidak wujud lagi, sebaliknya PKR percaya perpecahan itu masih boleh lagi diselamatkan.

Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali berkata ketiga-tiga parti perlu mengadakan rundingan segera mengelak berlakunya perpecahan terhadap kerjasama yang dibentuk sebelum ini.

Katanya, memang ada perbezaan antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat terutama DAP dan PAS namun yakin pakatan boleh diselamatkan.
"Duduk dan berbincang secara berhemah dengan menghormati pihak lain. Saya percaya kita boleh melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara.

“Jangan pula sampai Pakatan berpecah. Perlu ada rasa hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya selepas menyerahkan kunci rumah kekal mangsa banjir di Simpang Tiga Kuari Manek Urai Baru hari ini.

Pada majlis itu Azmin menyerah replika kunci kepada Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Kerajaan Selangor membiayai pembinaan 60 rumah mangsa banjir dengan kos RM62,000 sebuah membabitkan peruntukan sebanyak RM5.7 juta.

Sebanyak 30 rumah dibina pada fasa pertama pada tapak seluas enam ekar, tanah milik kerajaan negeri.

Hadir sama pada program itu anggota Exco kerajaan Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood, anggota-anggota Exco kerajaan Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, Zaidy Abdul Talib dan Dr Daroyah Alwi.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dan Ketua Jajahan Kuala Krai, Tengku Azmi Tengku Jaafar.

Akhbar hari ini melaporkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menganggap Pakatan Rakyat yang dibentuk selepas pilihan raya umum 2008 kini tidak wujud lagi selepas usul Dewan Ulama PAS memutus hubungan dengan parti itu. - HARAKAHDAILY 17/6/2015

Share on Myspace