Mangsa banjir dapat banglo sumbangan Selangor

ASLANI M | .

KUALA KRAI: Mangsa banjir yang mendiami khemah dan bangsal tidak sabar lagi menduduki banglo di Desa Darul Ehsan yang disumbang kerajaan Selangor membabitkan kos sebanyak RM5.7 juta.

Lengkap dengan tiga bilik tidur, sebuah tandas, dapur dan ruang tamu dibina di kawasan seluas enam ekar. Terletak di tepi jalan raya Gua Musang-Kuala Krai, lokasi yang strategik.

Sebanyak 60 unit dibina di penempatan baru tersebut dijangka dapat diduduki pada pertengahan Ogos hadapan. Fasa pertama sebanyak 30 unit sedang giat dibina.

Projek tersebut dikendalikan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan pemantauan Lembaga Perumahan Selangor dan kerajaan negeri.

Penempatan tersebut dikenali sebagai Desa Darul Ehsan diumumkan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali pada majlis penyerahan kunci projek berkenaan di Simpang Tiga Kuari Manek Urai Baru hari ini.

Pada majlis itu Azmin turut mengumumkan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) turut menyumbang sebanyak RM1 juta bagi membantu pemulihan mangsa-mangsa banjir di Kelantan.

Katanya juga Sultan Selangor turut memperkenankan Perbadanan Zakat Selangor membangunkan sebuah lagi penempatan mangsa banjir di Kelantan.

“Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor melahirkan rasa kebertanggungjawaban bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Kelantan.

“Rakyat Selangor turut merasai musibah banjir yang berlaku di negeri ini akhir tahun lepas. Menteri Besar Kelantan ada daya tahan mengurus dan mentadbir negeri dalam keadaan musibah yang melanda,” katanya di majlis berkenaan.

Menurutnya Selangor berharap setiap rakyat mendapat pembelaan yang adil daripada kerajaan.

Pada awal tahun lepas Kelantan menandatangani memorandum persefahaman bagi mengadakan kerjasama ekonomi dengan kerajaan Selangor.

Kerjasama itu merangkumi pembangunan bidang pendidikan, industri makanan halal, rangkaian siber, sistem gadaian Islam Ar-Rahn dan isu air.

“Selangor juga akan membantu Kelantan meningkatkan lagi sektor pelancongan. Pelancong asing yang datang ke Malaysia melalui KLIA boleh datang terus ke Kelantan,” ujarnya.

Ustaz Ahmad berkata, Kelantan mempunyai banyak destinasi pelancongan menarik termasuk Tasik Pergau yang kaya dengan alam semulajadi.

Pada majlis itu beliau merakam ucapan terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan Selangor yang membantu membina rumah kekal mangsa banjir di negeri ini. - HARAKAHDAILY 17/6/2015

Share on Myspace