Sambutlah Ramadhan dengan sepenuh ketaqwaan

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan bagimu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan pada orang-orang sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah: Ayat 183)

Seluruh ummat Islam di Malaysia akan mula menunaikan ibadat puasa sebulan di Ramadhan bermula esok. Maka dengan ini, saya mengambil kesempatan yang ada ini untuk berpesan kepada diri saya, ahli PAS dan seluruh rakyat Malaysia supaya mengambil kesempatan yang ada untuk kita mengejar redha Allah SWT dengan Islam yang sempurna ini.

Kita berharap kepada Allah SWT, semoga Ramadhan yang akan kita tempuhi bersama tahun ini menghasilkan natijah yang baik untuk kita semua. Bulan yang berkat dan mulia ini, yang diturunkannya Al-Quran dan adanya malam yang yang lebih baik daripada 1000 bulan, iaitulah Lailatul Qadar mampu mengembalikan keimanan dan ketaqwaan kita kepada kemuncak yang diredhai Allah SWT.

Dalam suasana kita mengharungi Ramadhan ini, jangan kita lupa nasib agama kita, saudara-saudara kita yang tidak bernasib baik di seluruh dunia seperti nasib Dr Muhammad Morsi yang dihukum oleh regim zalim As-Sisi, nasib saudara kita di Palestin yang ditindas oleh zionis israel, nasib saudara kita yang dibiarkan tanpa tanah air di bumi Arakan, Myanmar dan lain-lain lagi.

Semoga lembaran Ramadhan kali ini juga, berjaya mengembalikan semangat kita membuat perubahan kepada diri kita, masyarakat kita dan seterusnya negara kita ke arah yang diredhai Allah SWT. Kita perlu berusaha dan terus berjuang supaya Islam tertegak dengan hak-hak yang ditetapkan oleh Allah dan mengambil semangat ramadhan yang ada, yang pernah mendatangkan kejayaan gemilang kepada saudara-saudara seaqidah kita yang terdahulu.

Justeru, marilah kita bersama-sama menempuh Ramadhan tahun ini dengan harapan kita berjaya menjadi manusia-manusia bertaqwa seperti yang disebut oleh Allah SWT dalam Al-Quran apabila menyebut tentang pensyariatan puasa di bulan Ramadhan.

"Beristiqamah Hingga Kemenangan"

DATUK SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

30 Syaaban 1436 / 17 Jun 2015

Share on Myspace