Nilai ringgit jatuh, pemimpin Umno kian celaru

| .

KUALA LUMPUR: Kenyataan bercanggah antara pemimpn Umno BN mengenai kejatuhan nilai mata wang membuatkan rakyat pening dan keliru.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, pemimpin Umno kini pening akibat diasak kiri dan kanan serta pergolakan dalaman parti sendiri.

Beliau merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

Ahmad menyalahkan Tun Doktor Mahathir sebagai punca jatuhnya mata wang Malaysia manakala Nazri pula berkata beliau gembira dengan kejatuhan mata wang kerana ia akan memajukan industri pelancongan.

"Adakah Datuk Ahmad Maslan terlupa bahawa nilai mata wang Ringgit Malaysia mula jatuh semenjak penghujung tahun lepas sedangkan kritikan lantang dan serangan yang dilancarkan Tun Mahathir kepada PM Najib bermula dengan agresif pada Mac tahun ini?

"Demi menjadi hulubalang mempertahankan PM Najib yang berdarah pahlawan, Datuk Ahmad Maslan sanggup memperlekeh Tun Mahathir, negarawan yang merupakan veteran dan tokoh berjasa besar kepada Umno, parti mereka sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahfuz juga mempertikai Nazri yang gembira dengan kejatuhan mata wang sedangkan impak dari kejatuhan ini amat besar kepada ekonomi Malaysia yang tidak bergantung penuh kepada sektor pelancongan sahaja.

"Saya merujuk kepada jawapan yang beliau berikan dalam Parlimen, jumlah pelancong asing yang datang ke Malaysia bagi tempoh Januari hingga Mac 2015 mengalami penurunan sebanyak 8.6% berbanding tempoh yang sama bagi 2014.

Nazri dalam jawapannya juga berkata, Malaysia hanya mampu menarik pelancong dari China sebanyak 379,265 orang sedangkan Thailand yang mempunyai matawang lebih baik daripada Malaysia, pergolakan politik dalaman dan demontrasi besar-besaran telah berjaya menarik pelancong seramai 2 juta orang ke negara tersebut.

"Jadi, perasaan gembira yang dizahirkan oleh Datuk Seri Nazri itu hanyalah ilusi dan palsu semata kerana secara realitinya industri pelancongan negara kita sedang merosot ketika ini," katanya lagi.

Justeru Mahfuz berharap para pemimpin Umno dapat berfikir dengan sebaiknya sebelum berkata kerana ia akan membuatkan rakyat pening melihat kecelaruan pemimpin bertaraf Menteri di peringkat Kerajaan Pusat.

"Pada zaman serba moden dan canggih ini, capaian maklumat lebih terbuka membuatkan rakyat tidak mudah percaya sahaja segala omongan kosong oleh Pak Menteri termasuklah resipi Nasi Goreng Tanpa GST yang dihidang di dalam kuali di rumah Datuk Ahmad Maslan," sindirnya. - HARAKAHDAILY 18/6/2015

Share on Myspace