11 aktivis PAS terima pengampunan diraja

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memperkenan memberi pengampunan diaja ke atas 11 aktivis yang disebut sebagai orang kena zalim (OKZ) setelah 92 hari dipenjara.

Perkara itu telah disahkan oleh Nashita Md Noor iaitu isteri kepada salah seorang yang dijatuhkan hukuman dalam laman Facebooknya hari ini.

Menurutnya, pengampunan dari Sultan dan Lembaga Pengampunan Perak itu adalah bersempena bulan Ramadhan dan Aidilfirtri yang menjelang tiba.

Kata beliau, pengumuman tersebut dilakukan setelah perintah pembebasan sampai kepada pihak penjara.

Namun kata beliau, pihak waris masih menunggu panggilan daripada pihak penjara berhubung pembebasan itu dan kemungkinan mereka akan dibebaskan lewat petang ini.

"Alhamdulillah Allah hu Akbar! Saya bagi pihak ahli keluarga OKZ11 (orang kena zalim 11) yang masih terpenjara di balik tembok besi Penjara Tapah (ketika ini) ingin mengumumkan bahawa ke semua mereka telah mendapat pengampunan dari Sultan Perak dan Lembaga Pengampunan Perak," tulisnya.

Menurutnya, usaha dan rayuan pengampunan itu dilakukan sendiri oleh isteri-isteri serta ahli keluarga masing-masing, bukan daripada mana-mana pihak ketiga.

"Terima kasih pada semua yang memberikan sokongan dan mendoakan kami," kata beliau.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria ketika dihubungi Harakahdaily menjunjung kasih ke bawah Duli Sultan Perak atas perkenan memberi pengampunan kepada 11 aktivis itu.

"Dengan keperibadian Tuanku berjiwa rakyat, moga bertambah kemakmuran negeri di bawah perintah Tuanku.

"PAS Perak mengucapkan terima kasih diatas pengorbanan 12 orang yang terlibat serta keluarga mereka, doa kami moga Ramadhan dan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna buat mereka," katanya.

Razman menyatakan, peristiwa yang berlaku juga menjadi sayu ingatan dan pengajaran kepada seluruh rakyat Perak khususnya dan rakyat Malaysia.

Pada 18 Mac lalu, seramai 12 aktivis PAS itu telah dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan 10 bulan penjara oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya selepas didapati bersalah menyertai demonstrasi ketika membantah rampasan kuasa di Perak pada tahun 2009.

Seorang daripada mereka telah diberi pengampuan awal beberapa bulan lalu oleh Sultan Perak yang baru ditabalkan itu. - HARAKAHDAILY 18/6/2015

Share on Myspace