Berlindung di rumah transit hadapi Ramadan

| .

GUA MUSANG: “Wakil kerajaan negeri acap kali datang menghulur bantuan. Baru-baru ini anggota Exco, Datuk Anuar Tan memberi bantuan modal niaga.

“Seorang lagi anggota Exco, Datuk Che Abdullah Mat Nawi datang menyampaikan bantuan bahan binaan di Kampung Serian.

“Adun Paloh Datuk Nozula Mat Diah juga datang sekali selepas bah surut. Selepas itu tidak nampak lagi,” kata penduduk Kampung Limau Kasturi ketika ditemui.

Kampung itu terjejas teruk akibat amukan Sungai Nenggiri. Sebanyak 91 rumah rosak sama sekali. Kesan-kesan runtuhan masih boleh dilihat sehingga sekarang.

Masih ada mangsa banjir yang berlindung di bawah khemah. Sebuah keluarga tinggal dalam khemah yang dibina di stesen Kereta Api Tanah Melayu Bhd (KTMB) Limau Kasturi.

Khemah juga kelihatan di beberapa tempat di sepanjang laluan kereta api ke Batu 12. Selebihnya rumah dibina NGO, sekadar boleh berteduh daripada hujan dan panas.

Kawasan itu terletak di bawah pentadbiran Kesedar, sebuah agensi pembangunan di bawah kerajaan pusat. Hanya beberapa rumah dibaiki Kesedar. Ada logo khas dilekat di dinding rumah yang sudah dibaiki.

Difahamkan setiap rumah yang rosak mendapat peruntukan sehingga RM10,000. Namun penduduk meluah rasa tidak puas hati. Pembaikian dilakukan didakwa mereka secara ala kadar sahaja.

Di belakang stesen kereta api Limau Kasturi beberapa penduduk sibuk membina semula rumah mereka. Mereka membangun semula rumah di tanah rezab KTMB.

“Sekarang sudah masuk bulan ke enam, namun belum dapat apa-apa bantuan daripada kerajaan. Menghadapi Ramadan kami terpaksa membaiki sendiri.

“Keluarga kakak masih lagi menumpang di Kem Kasturi Gua Musang. Kami sahaja yang masih berada di situ. Esok dah nak puasa jadi kami mengambil keputusan membina semula rumah yang runtuh dengan duit sendiri,” kata Zaharah Abdullah di sini kelmarin.

Beliau membina semula rumah di tapak runtuhan di atas rezab KTMB. Dua tukang rumah kelihatan sedang memasang tiang.

Razak Musa juga mendakwa belum mendapat apa-apa bantuan bagi membaiki rumahnya yang juga rosak akibat bah.

Beliau mengumpul wang sendiri dan bantuan daripada keluarga membaiki rumahnya. Razak tidak mengupah orang lain. Sisa rumah lama dipungut semula bagi menjimatkan kos.

Penghulu Mukim Limau Kasturi, Razali Mat Tahir berkata, banyak NGO datang membantu membaiki semula rumah penduduk yang rosak.

“Saya juga mendapat rumah transit disumbang NGO, Islamic Relief. Sebanyak lapan rumah transit dibina NGO terbabit. Biar pun kecil namun lebih baik daripada tinggal dalam khemah,” ujarnya.

Sebuah lagi NGO sedang menyiapkan pembinaan dua rumah kekal.

Menurut Razali ramai penduduk terpaksa membina sendiri rumah daripada sisa runtuhan rumah asal.

“Kerajaan negeri akan mewujudkan penempatan baru seluas 20 ekar berhampiran sekolah bagi menempatkan mangsa banjir yang tiada lot sendiri,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 18/6/2015

Share on Myspace