Sebaik-baik kita baca Al-Quran, fahami kandungan

HARAKAHDAILY | .

Ramadhan adalah bulan diturunkan padanya Al-Quran, dengan demikian menjadi kewajipan kepada seluruh umat Islam untuk berdampingan erat dengannya sepanjang Ramadhan Al-Mubarak.

Sebaik-baiknya kita dapat membaca Al-Quran dan memahami kandungan yang dibaca agar hati-hati kita tersentuh dengan ayat-ayat yang sangat mendalam maknanya.

Memulakan sedikit perkongsian ilmu ringkas pada hari pertama Ramadhan 1436H ini, marilah kita mentadabur kandungan ayat-ayat suci pada juz yang pertama.

Dalam juz yang pertama terdapat dua surah iaitu surah Al-Fatihah dan surah Al-Baqarah.

Dalam surah Al-Fatihah yang mempunyai 7 ayat sudah melengkapi kesemua cabang kehidupan manusia dari sudut akidah, syariah dan akhlak.

Penumpuan utama dalam surah ini menjurus kepada pemasakan akidah agar sentiasa berada dalam hidayah Allah dan mesti berlepas diri daripada anutan sesat dan jahiliah.

Sementara dalam surah Al-Baqarah yang mempunyai 286 ayat dan pada juz pertama hanya sampai kepada ayat 141 sahaja telah memaparkan beberapa keutamaan dalam kehidupan manusia seperti menjauhi sikap menipu Allah dan suka menjadi golongan yang membeli kesesatan lebih daripada mencari petunjuk.

Setelah itu Allah mengarahkan manusia agar menyembah-Nya dengan berpandukan petunjuk Al-Quran yang tiada ragu-ragu dan menjalankan kewajipan sebagai khalifah di atas muka bumi dengan penuh amanah.

Dalam juz ini juga dinyatakan kisah Nabi Musa yang berhadapan dengan Firaun akan tetapi Nabi Musa diselamatkan serta diberi kemenangan hasil dari pegangan yang kukuh terhadap Al-Kitab yang diturunkan oleh Allah kepadanya.

Pertentangan antara hak dan batil ini berterusan apabila golongan Yahudi dan Nasrani meneruskan penentangan terhadap umat Islam.

Mereka sesekali tidak akan redha dengan apa yang diperbuat oleh umat Islam khasnya dalam mendirikan agama kerana mereka bimbang dunia ini akan dikuasai oleh umat Islam.

Oleh yang demikian, pelbagai serangan dan ancaman sentiasa dihadapkan kepada umat Islam sejak sekian lama sehingga hari ini.

Merakyatkan Membangun Bersama Islam

USTAZ DATUK HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan Darulnaim

Share on Myspace