11 aktivis PAS bertakbir, syukur bebas dari penjara

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

TAPAH: Sebelas aktivis PAS dibebaskan daripada Penjara Tapah kira-kira jam 9.30 malam tadi setelah mendapat pengampunan diraja daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Mereka dibebaskan selepas dipenjara selama 91 hari setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan apabila menyertai demonstrasi ketika krisis politik Perak pada tahun 2009 yang membawa kepada hukuman denda RM5,000 dan 10 bulan.

Mereka disambut gembira oleh ahli keluarga masing-masing.

Terpancar kegembiraan di raut wajah mereka menzahirkan rasa syukur di atas pelepasan daripada penjara.

Masing-masing bertakbir dan menyambut kegembiraan bersama ahli keluarga yang tidak jemu berusaha untuk melepaskan mereka daripada hukuman tersebut.

Sebelum itu, ahli keluarga terutama para isteri masing-masing telah menunggu di pekarangan Penjara Tapah sejak siang lagi setelah menerima perkhabaran tentang pengampunan itu.

Nashita Md Noor, 49, mengucapkan rasa syukur kepada Allah dan menjunjung kasih kepada Sultan Perak yang memberi pengampunan kepada suaminya.

Isteri kepada Bad Latif Mansor itu berkata, pihaknya berasa bertuah kerana ada peruntukan undang-undang yang membolehkan rakyat memohon pengampunan terhadap hukuman yang dijatuhkan.

"Terima kasih kepada Tuanku dan rakyat Malaysia," katanya yang tidak dapat menahan rasa sebak berhubung berita gembira itu.

Dalam nada yang sama, Amin Meor Abu Bakar, 69, bapa kepada salah yang dibebaskan itu turut berterima kasih kepada Sultan Nazrin.

Beliau bersyukur pada hari pertama Ramadhan telah menerima satu perkhabaran yang ditunggu-tunggu.

"Saya berterima kasih kepada Sultan Perak atas perkenan mengampunkan banduan yang dijatuhkan hukuman.

"Mudah-mudahan hanya Allah yang mampu membalas jasa baik Tuanku," jelasnya. - HARAKAHDAILY 19/6/2015

Share on Myspace