Kerjasama politik PAS-DAP tak dapat bertahan kali kedua

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kerjasama politik DAP dengan PAS akhirnya tidak dapat bertahan jua buat kali keduanya.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dari sudut positifnya, hubungan parti itu dengan DAP kali ini berlangsung lebih lama berbanding pada zaman Barisan Alternatif selepas berehat selama 7 tahun (2001-2008).

"Jika ada kali ketiga, diharap kerjasama ini akan lebih panjang berbanding yang sebelumnya," ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, PAS tetap kesal dengan serangan berterusan DAP terhadap presiden parti dan fitnah bahawa PAS mahu mengadakan kerjasama politik dengan Umno.

"Lebih baik bagi DAP untuk menumpukan serangan pada Umno yang berkuasa di kerajaan persekutuan," katanya.

Tambah beliau, tiada siapa yang dapat mengetahui dengan pasti apa yang bakal berlaku pada masa depan.

Katanya lagi, kekalahan hari ini mungkin adalah rahmat di masa depan, kemenangan hari ini mungkin ialah musibah yang tidak diundang.

"Siapa yang menjangka kemenangan besar Umno di 2004 merupakan pintu kepada kehilangan undi popularnya hari ini?

"Biarlah sejarah menilainya," ujar beliau seterusnya.

Apapun, tegas beliau prinsip dan dasar parti akan terus menjadi kompas perjuangan PAS.

Jelas beliau, PAS akan terus istiqamah dan menerima qada dan qadar Allah dengan hati terbuka.

PAS, ujar Tuan Ibrahim kekal dengan kerjasama bersama PKR yang tidak pernah putus sejak penubuhannya. - HARAKAHDAILY 19/6/2015

Share on Myspace