Bubar Pakatan Rakyat ada masalah kongsi kuasa

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

KUALA TERENGGANU: Datuk Mustafa Ali bekata, jika Pakatan Rakyat (PR) hendak dibubarkan turut menjadi masalah dalam perkongsian kuasa memerintah kerajaan negeri di Selangor dan Pulau Pinang.

“Jika ‘mati’ betul ada masalah juga sebab ada ‘anak’ yang hendak kena jaga iaitu ‘anak Selangor’, ‘anak Penang’ (Pulau Pinang).

“Selangor ada tiga, Pulau Pinang paling tidak pun ada dua (DAP dan PKR) kerana PAS hanya ada satu kerusi. DAP pula tidak ada majoriti yang ‘clear’ dan mesti memerlukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dia (DAP) hendak kena fikir tentang (senario) perkara ini.

“Pendapat saya (peribadi) dengan apa yang berlaku, apa yang saya sebut 'pengsan' tadi jika kena cara dia (Pakatan Rakyat) boleh hidup kembali,” tegas bekas Setiausaha Agung PAS itu pada satu sidang media di Pejabat PAS Terengganu di sini, semalam.

Namun, katanya senario yang sama pernah berlaku pada 2001 ketika gabungan pembangkang dalam Barisan Alternatif (BA).

Menurutnya, BA yang wujud pada tahun 1999 antara PAS, Parti Keadilan dan DAP juga akhirnya DAP keluar daripada BA.

“Saya ambil contoh, pada tahun 2001 dulu itu Barisan Alternatif (BA) yang kita bermula tahun 1999. BA itu yang terdiri daripada empat parti tetapi yang utamanya ada tiga iaitu PAS, DAP dan Parti Keadilan (sekarang PKR).

“Tubuh Barisan Alternatif, dan melalui proses pilihan raya tahun 1999 tetapi tahun 2001, DAP keluar (BA) dan bersendirian. Bila DAP keluar, Barisan Alternatif masih boleh berfungsi dengan adanya PAS dan Keadilan.

“Kita masih terus dengan Barisan Alternatif sehingga kita menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 2004. Malah, tahun 2008 pun Barisan Alternatif itu masih berjalan di antara Keadilan dengan PAS,” jelasnya.

Menurutnya, menjelang pilihan raya tahun 2008 apabila mahukan pertandingan satu lawan satu, maka DAP kembali dan tubuh pula Pakatan Rakyat.

“Jadi, jika satu parti keluar dan dua lagi berjalan masih boleh hidup pakatan itu. Sebab itu, saya guna ‘pengsan’ dan tidak ‘mati’ lagi. Itulah kedudukan Pakatan Rakyat pada waktu ini.

“Kita dengan PKR atas dasar yang sama, itu masih boleh jalan. Kita tidak ada bertengkar dengan PKR, cuma PAS dengan DAP sahaja.

“Perbezaan itu semua ada tetapi bertengkar tidak berlaku antara PAS dengan PKR,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun mempertahankan usul yang dikemukakan oleh Dewan Ulamak PAS Pusat pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 yang berlangsung di Kuala Selangor, 4 hingga 6 Jun lalu.

Jelasnya, oleh kerana usul tersebut berkaitan dengan ‘tahaluf siasi’ yang melibatkan soal halal, harus dan haram perlu dirujuk kepada Majlis Syura Ulamak (MSU).

“Dalam keadaan usul biasa muktamar memang memutuskan (muktamad). Oleh kerana, soal ‘tahaluf siasi’ ini berdasarkan hukum halal, haram, harus itu ada pada PAS.

“Sebab, ia bersandarkan prinsip itu Islam. Setiap tindakan itu akan dirujuk sama ada betul atau tidak tindakan mengikut prinsip dan ajaran Islam. Yang menentukan soal harus, halal dan haram itu Majlis Syura Ulamak.

“Usul itu juga menyerahkaan kepada MSU dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat tetapi kita kena maklumkan kepada muktamar usul itu,” jelasnya bagi merungkai salah faham terhadap usul berkenaan.

Menurutnya lagi, Majlis Syura Ulamak masih belum bincang soal usul itu kerana kebetulan MSU juga telah tamat tempoh penggal pelantikan.

Ketika ditanya tentang masa depan Pakatan Rakyat apabila DAP telah bertindak keluar, beliau menegaskan bahawa PAS tetap bersama Pakatan Rakyat.

“Pada saya, oleh kerana DAP telah memutuskan hubungan dengan PAS walaupun usul itu belum dibawa ke mesyuarat (MSU) tetapi DAP sendiri telah memutuskan dengan PAS.

“Tetapi usul itu mengekalkan PAS dengan Pakatan Rakyat sama sebagaimana Barisan Alternatif pada tahun 2001, apabila DAP keluar (BA) dan kita masih bersama dengan Keadilan.

“Apabila DAP memutuskan kerjasama dengan PAS maka ‘terputuslah’. PAS masih bersama dengan Pakatan Rakyat kerana masih ada dua dari tiga komponen parti pakatan,” tegasnya. - HARAKAHDAILY 19/6/2015

Share on Myspace