Semua anak kapal MT Orkim Harmony berjaya dibebaskan

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Kesemua 22 anak kapal tangki MT Orkim Harmony berjaya dibebaskan kira-kira pukul 2.30 pagi ini, menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata pembebasan kru kapal itu adalah menerusi rundingan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan perampas kapal berkenaan.

Beliau berkata kapal MT Orkim Harmony akan dibawa ke Pelabuhan Kuantan dan dijangka tiba seawal 6 petang ini.

"Bagaimanapun, seorang daripada anak kapal berkenaan mengalami cedera ringan dan akan dihantar ke hospital berdekatan sama ada di Kuantan atau Terengganu untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar ketika dihubungi berkata perampas bagaimanapun berjaya melarikan diri menaiki bot penyelamat kapal berkenaan.

Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada pukul 8.57 malam, 11 Jun lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Kapal yang dimiliki oleh Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal terdiri 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar. - Bernama

Share on Myspace