Pembebasan cukup bermakna kepada seluruh rakyat Perak

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

IPOH: "Semoga dengan pembebasan ini sebagai satu yang cukup bermakna juga kepada seluruh rakyat Perak dan memartabatkan Institusi Diraja Negeri Perak," kata Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata demikian merujuk kepada perkenan pengampunan diraja ke atas 11 orang aktivis PAS yang dipenjara setelah didapati bersalah menyertai demonstrasi di Kuala Kangsar ketika krisis politik Perak pada tahun 2009.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak itu berkata, pihaknya menjunjung kasih ke bawah Duli Tuanku di atas pembebasan tersebut dan melahirkan rasa syukur semua aktivis tersebut dapat kembali ke pangkuan keluarga mereka.

"Pada 18 Mac 2015 yang lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya telah memutuskan bahawa mereka semua dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM5,000 setiap seorang.

"Kami dimaklumkan bahawa ahli keluarga OKZ (aktivis PAS) telah mengemukakan rayuan kepada Lembaga Pengampunan Negeri Perak agar mereka semua diberikan pengampunan dan telah berjaya," katanya dalam satu kenyataan.

Oleh kerana sudah diampuni, beliau memohon supaya denda yang telah dibayar dipulangkan balik kerana rata-rata mereka adalah dari kalangan yang tiada berpendapatan tetap dan bergaji rendah.

Sementara itu, beliau menjelaskan, sesungguhnya tindakan aktivis PAS itu bukannya ditujukan terhadap Tuanku Sultan tetapi demi menegakkan keadilan dan demokrasi di bumi Perak yang disayangi.

"Mereka bukannya penjenayah-penjenayah biasa tetapi orang yang wajar kita sanjung tinggi kerana sudi korban diri dan berjiwa sayangkan rakyat untuk wujudkan sebuah negeri yang adil dan berlandaskan demokrasi.

"Hak dan kehendak rakyat untuk memilih Kerajaan Negeri Perak secara demokratik hendaklah dihormati pada setiap masa," ujar beliau.

Adun Changkat Jering itu mendoakan agar mereka bergembira di samping keluarga tercinta untuk beramal ibadah di bulan Ramadhan serta dapat menyambut syahdu menjelang Aidil Fitri nanti. - HARAKAHDAILY 19/6/2015

Share on Myspace