Pakatan: Presiden PAS ulas kenyataan Guan Eng

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa persetujuan bertulis pernah dibuat bersama antara tiga parti dalam Pakatan Rakyat bagi menghormati hak masing-masing.

“Sebab itu, kita (PAS) memberi peringatan acap kali dan sudah diadakan tandatangan bersama iaitu mereka menerima hak kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS untuk membuat sesuatu bagi melaksanakan Islam.

“Hak dia (DAP) tidak setuju terpulang kepada dia, tapi dia (DAP) hendak nasihat supaya kita berhenti itu tidak bolehlah,” ujarnya kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, pagi tadi.

Beliau menjelaskan demikian ketika mengulas tindakan DAP menentang RUU persendirian yang dibawa oleh PAS ke Parlimen, baru-baru ini.

Namun, katanya PAS telah mencapai satu kejayaan apabila berjaya menarik orang bukan Islam menjadi ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dalam sayap parti.

Berikut adalah transkrip ringkas soal jawab beliau bersama media.

Soalan: Sekarang ini apa yang akan PAS buat kepada DAP yang telah bubar Pakatan Rakyat, adakah PAS masih lagi mahu berada dalam pakatan?

Jawapan: Pertama, bila disebut pakatan bermakna banyak parti dan bukan satu parti sahaja. Jika hanya satu parti buat keputusan itu bukan pakatan. Pakatan ini kena ada dua sekurang-kurang atau pun banyak (parti). Dalam hal ini kita faham apa makna pakatan. Sehingga hari ini, PKR masih tidak buat apa-apa kenyataan dan DAP telah membuat kenyataan dia. Ada pun dari segi buat keputusan PAS ini bukan milik saya seorang. PAS ini milik pimpinan secara kolektif dan dengan sebab itu saya perlu merujuk kepada kepimpinan PAS dan termasuklah yang menjaga teras kepada dasar PAS iaitu Majlis Syura Ulamak.

Pada Datuk Seri, adakah Datuk Seri sebagai Presiden PAS boleh terima kenyataan Lim Guan Eng yang mendakwa tidak wujud lagi Pakatan Rakyat?

Itu kenyataan peribadi dan pada saya itu satu kenyataan yang tidak tepat kerana satu parti itu bukan pakatan. Pakatan mesti merangkumi banyak parti yang ada dalam pakatan itu. Boleh buka Kamus Dewan tengok apa makna pakatan.

Pada Datuk Seri, status Pakatan Rakyat itu masih wujud?

Ya, sehingga kini masih wujud.

Tetapi, Datuk Seri, Lim Guan Eng kata PKR juga telah menyatakan Pakatan Rakyat juga sudah tidak wujud lagi?

Saya melihat Kamus Dewan apa makna pakatan dan dengan sebab itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak membuat kenyataan yang menunjukkan kita berpisah. Dan ini menunjukkan pakatan antara dua parti masih ada. Manakala, dengan DAP sehingga hari ini kita masih belum dapat satu keputusan secara rasmi dan kita dapat melalui media sahaja.

Maknanya PAS akan bekerjasama dengan PKR sahaja?

Kita bekerjasama dengan semua parti yang tidak cauvinis, itu sikap kita.

Datuk Seri, dalam muktamar PAS mahu melihat semula tahaluf siasi. Tapi, apabila pendekatan yang dibuat oleh Lim Guan Eng dalam soal bubar pakatan ini, maksudnya PAS masih mahu pertahankan pakatan ini atau masih menunggu MSU untuk membuat keputusan?

Pakatan Rakyat dibubarkan dan terbubar dengan sendirinya apabila semua parti dalam Pakatan Rakyat keluar daripada pakatan atau dipecat semua tinggal satu sahaja. Jika masih ada dua itu masih dalam pakatan.

Bagaimana dengan tindakan kerajaan Pulau Pinang yang memecat Ahli Majlis PBT. Adakah itu sememangnya DAP mahu memutuskan hubungan dengan PAS, Datuk Seri?

Kerajaan Pulau Pinang bukan sahaja melibatkan dengan PAS termasuklah dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan parti PKR masih ada lagi dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Sebab itu, keputusan kerajaan negeri mesti keputusan kerajaan yang melibatkan parti yang ada dalam kerajaan itu.

Datuk Seri, yang jelas PAS masih sayangkan Pakatan Rakyat?

Kita sayangkan perpaduan. Perpaduan kaum kerana kita menerima hakikat masyarakat majmuk yang ada di Malaysia.

Pada Datuk Seri, Lim Guan Eng tidak berhak membut keputusan bubar pakatan?

Itu terpulang kepada masyarakat di bawah menilai. Biar masyarakat umum melihat kenyataan dia.

Bila agaknya, Majlis Syura Ulamak (MSU) akan membuat keputusan di antara hubungan PAS dengan DAP?

Itu akan ditentukan dalam mesyuarat yang ditentukan oleh Jawatankuasa PAS Pusat pada bila-bila masa sahaja dalam masa terdekat ini, insya Allah. - HARAKAHDAILY 19/6/2015

Share on Myspace