Kerajaan digesa tandatangan Konvensyen Pelarian 1951

SEKRETARIAT ABIM | .

Bersempena dengan ketibaan Hari Pelarian Sedunia 2015 pada 20 Jun ini, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat kenyataan yang dikemukakan oleh Pesuruhjaya Tinggi (Hal Ehwal Pelarian) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres; bahawa krisis pelarian sedunia kini berada pada tahap yang membimbangkan.

Kenyataan beliau merujuk pada statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) yang mencatatkan seramai 59.5 juta orang menjadi pelarian di seluruh dunia. Daripada jumlah tersebut, seramai 2 juta daripada jumlah tersebut terdiri daripada pelarian Syria yang mendapat perlindungan di Turki.

Kenyataan ini menunjukkan krisis pelarian pada detik dan ketika ini telah memuncak ke tahap yang membimbangkan. Krisis kemanusiaan ini telah melangkaui tahap serta kemampuan maksima pertubuhan-pertubuhan bantuan kemanusiaan sejagat sepertimana yang dinyatakan sendiri oleh Guterres yang berbunyi:

“To those that think that it doesn't matter because humanitarian organizations will be there and able to clean up the mess, I think it's important to say that we are no longer able to clean up the mess. UN agencies, NGOs, the Red Cross -- we no longer have the capacities and the resources to respond to such a dramatic increase in humanitarian needs."

Berasaskan kepada kenyataan ini, ABIM ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan menjunjung tinggi kemuliaan insani (karamah insaniah) agar terus menzahirkan keprihatinan mereka terhadap nasib golongan pelarian sejagat.

Dukungan ini berasaskan kepada nilai kemanusian dan kasih sayang sesama insan - seperti yang dianjurkan oleh seluruh agama-agama besar dunia - merentas batas sempadan kenegaraan, warna kulit, ras dan agama.

Sokongan dan dukungan daripada seluruh warga Malaysia yang prihatin secara simboliknya merupakan penolakan terhadap sebarang unsur keganasan serta kezaliman sejagat. Krisis pelarian adalah manifestasi sejagat terhadap keamanan dunia yang kita diami hari ini.

Dalam situasi dunia yang diwarnai oleh konflik berpanjangan merentas benua, hampir setiap negara akan merasai dampak krisis pelarian, khususnya negara-negara yang berjiran dengan zon dilanda konflik. Malaysia tidak terkecuali.

Tragedi penemuan kubur serta kem pemerdagangan manusia di Wang Kelian seharusnya membangkitkan kesedaran warga Malaysia yang prihatin terhadap polemik pelarian di negara ini.

US State Department's Trafficking In Person (TiP) report 2014, telah meletakkan Malaysia pada kedudukan tier ke-3, termasuk di bawah kategori sebuah negara yang gagal untuk memenuhi kewajipan antarabangsa yang asasi untuk menghalang aktiviti pemerdagangan manusia dan menyelamatkan mangsa-mangsa aktiviti haram ini.

Atas dasar ini, ABIM dengan tegasnya menggesa pihak kerajaan serta masyarakat untuk menolak sama sekali sindiket penyeludupan manusia serta korupsi pihak-pihak yang bersubahat bagi mengaut keuntungan lumayan dengan menindas para pelarian.

Tindakan tegas pihak kerajaan terutama sekali amat penting kerana ia menggambarkan tahap sebenar komitmen negara kita terhadap kemelut kemanusiaan sejagat.

Oleh itu ABIM menggesa kerajaan Malaysia untuk menandatangani Konvensyen Berkaitan Pelarian 1951 sebagai legitimasi politik dan perundangan untuk membela nasib golongan pelarian sejagat.

Akhir sekali, ABIM menyeru agar warga Malaysia membantu pelarian yang berada di negara ini melalui kempen kesedaran terhadap kemelaratan mereka, mendaftarkan diri sebagai sukarelawan dan melalui bantuan kewangan khususnya dalam memenuhi keperluan kesihatan dan pendidikan kanak-kanak dan wanita.

Mereka amat memerlukan sumbangan dan perhatian untuk “berdiri di atas kaki mereka sendiri” untuk mencorak masa depan yang lebih baik.

Semoga sumbangan kecil dari individu, organisasi dan pertubuhan ini akan menjanjikan masa depan yang lebih cerah dan dunia yang lebih aman buat pelarian dan umat manusia seluruhnya.

Selamat Memperingati Hari Pelarian Sedunia 2015! - HARAKAHDAILY 19/6/2015

Share on Myspace