Mapim kecam China haram umat Islam puasa Ramadhan

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengecam sekeras-kerasnya tindakan kerajaan China yang telah mengisytiharkan pengumuman mengharamkan berpuasa pada bulan Ramadhan bagi kakitangan awam, pelajar dan guru di negeri Xinjiang iaitu negeri bahagiannya yang mempunyai populasi terbesar Muslim Uighur.

Keputusan itu samasekali tidak boleh diterima dan ia adalah suatu penindasan yang mesti dibantah bukan sahaja oleh setiap warga umat Islam, malah juga oleh komuniti dunia seluruhnya atas dasar hak dan kebebasan beragama.

Pengharaman itu dikuatkuasakan oleh kerajaan parti komunis China yang secara rasminya adalah kerajaan ateis yang mengarahkan semua restoran dibuka sepanjang Ramadhan seperti Notis yang dinaikmuat dalam sesawang Administrasi Makanan dan Ubatan China.

Dalam pengumuman yang dikeluarkan di daerah Bole dimaklumkan: "Dalam bulan Ramadhan dilarang berpuasa dan melakukan sebarang upacara agama".

Nampaknya setiap tahun pihak berkuasa China mengharamkan berpuasa dalam kalangan Muslim Uighur.

Akibatnya ketegangan etnik sering tercetus yang menyebabkan ratusan terbunuh dalam beberapa tahun yang lalu.

Meskipun kebebasan agama telah dikembangkan di China sejak dasar terbukanya pada 1979, namun ia sangat terbatas. Perlembagaan negara China memberi kebebasan terhadap kepercayaan agama, namun ia masih menghadkan aktiviti agama dan organisasi agama.

China mengiktiraf 5 agama - Buddhism, Daoism, Islam, Catholicism dan Protestantism dengan mensyaratkan semua aktiviti agama dilakukan di bawah naungan badan agama yang setia kepada negara (patriotic religious association).

Di kawasan autonomi Xinjiang Uighur, umat Islam telah menghadapi keganasan pada 2008 dan 2009. Pada 2014, kerajaan China mengharamkan semua aktiviti agama pada bulan Ramadhan.

Pihak berkuasa telah menuduh ia kononnya adalah akibat dari "ancaman teroris" dan "ekstrimis agama".

Jelas kerajaan China bermatlamat untuk memaksa Muslim Uighur memisahkan diri dari amalan agama mereka. Polisi ini akan memprovokasi ketengangan antara etnik dan mencetuskan konflik.

Tahun sebelum ini pelajar sekolah termasuk dalam arahan larangan berpuasa dan pelbagai amalan agama. Biro pendidikan kota Tarbaghatay mengarahkan semua sekolah dihubungi dan memberitahu pelajar arahan tersebut bahawa semasa Ramadhan pelajar etnik minoriti Uighur Muslim tidak dibenarkan berpuasa, tidak dibenar memasuki masjid dan tidak dibenarkan mengamalkan aktiviti agama.

Malah pemantauan lebih rapi akan dilakukan sepanjang bulan Ramadhan atas nama menjaga "kestabilan sosial".

Malah sebelum Ramadhan lagi, pengurusan masjid diarah menyiasat kad pengenalan setiap orang yang datang menunaikan ibadat di masjid.

Kami membantah keras penindasan yang nampaknya berterusan dilakukan oleh kerajaan komunis ke atas umat Islam.

Kami menuntut PBB bertindak tegas keatas kerajaan China yang menafikan hak agama kepada mereka yang sudah berpegang kepada agama yang dipilih. Memaksa mereka meninggalkan amalan agama yang mereka pilih adalah suatu kezaliman yang tidak boleh dibiarkan.

Kerajaan Malaysia perlu mengambil inisiatif supaya OIC melakukan sesuatu bagi berunding dengan kerajaan China supaya hak mengamalkan Islam dalam kalangan umat Islam berbangsa Uighur perlu dihormati.

Kami menggesa kerajaan Malaysia menghantar nota bantahan kepada Kedutaan China di Kuala Lumpur supaya pendirian Malaysia sebagai negara umat Islam disampaikan kepada pihak berkuasa China jika hubungan baik dua hala antara dua negara ini hendak diteruskan. - HARAKAHDAILY 19/6/2015

Penulis ialah Presiden Mapim.

Share on Myspace