Rakyat lega kapal tangki MT Orkim Harmony ditemui

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengucapkan rasa syukur dan gembira di atas penemuan kapal tangki MT Orkim Harmony bersama 22 anak kapal di perairan Kemboja semalam oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Ia suatu berita yang melegakan hati rakyat Malaysia terutamanya keluarga mangsa yang terpaksa menyambut Ramadhan dalam suasana yang penuh hiba," ujarnya menerusi facebook.

Katanya, pujian seharusnya diberikan kepada pihak TLDM dan semua agensi dalam dan luar negara yang telah bertungkus lumus dalam usaha mencari kapal tangki yang dilaporkan hilang sejak Khamis yang lalu.

Tambahnya, usaha menyelamat pada mulanya agak sukar disebabkan lanun yang merampas kapal berkenaan bersenjatakan pistol dan parang.

Namun, ujar beliaulanun-lanun berkenaan akhirnya dipercayai melarikan diri menggunakan bot penyelamat dan semua anak kapal ditemui berada dalam keadaan selamat.

Beliau mengharapkan penguatkuasaan keselamatan di perairan negara dipertingkatkan.

"Kes kehilangan kapal tangki ini merupakan pengajaran penting kepada Malaysia dan negara-negara serantau bahawa kedudukan perairan dalam linkungan Asean ini terdedah kepada ancaman aktiviti lanun," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Justeru, beliau menggesa langkah penguatkuasaan yang proaktif perlu diambil supaya kejadian yang sama tidak berulang pada masa hadapan. - HARAKAHDAILY 19/6/2015

Share on Myspace