DAP memulakan 'game', DAP juga mengakhirinya

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Saya melihat ini satu ‘game’ yang telah lama dimulakan oleh DAP dengan mengambil kesempatan dalam beberapa isu intra koalisi Pakatan Rakyat serta berterusan menyerang peribadi Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang," ujar Khairil Nizam Khirudin.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu merujuk kepada laporan berita RoketKini bertarikh 16 Jun 2015, mesyuarat Jawatankuasa Pusat DAP telah membuat keputusan bahawa Pakatan Rakyat sudah tidak lagi wujud atau mati.

"PAS telah beberapa kali mengulangi ketetapan bahawa kami tidak akan bekerjasama dengan Umno apatah lagi membentuk Kerajaan Perpaduan dengan parti tersebut," tulisnya menerusi facebook.

Kataya, kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selepas Muktamar Tahunan PAS telah menegaskan perkara itu.

Begitu juga, katanya isu yang dipertikaikan oleh DAP mengenai pertukaran Menteri Besar Selangor yang turut dijawab dengan baik walaupun ia berpunca daripada tindakan kontroversi beberapa pihak yang bermula dengan Kajang Move.

Tambahnya, wakil pimpinan PAS juga telah memberikan penjelasan serta dialog bersama pimpinan DAP berhubung isu implementasi Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan.

Ini, kata beliau menunjukkan bahawa segala isu yang dibangkitkan telah dijawab oleh PAS.

Namun, ujarnya sehingga laporan berita RoketKini semalam, DAP masih terus memfitnah PAS dan Presiden secara khususnya.

Parti tersebut juga, katanya telah mengambil keputusan drastik sebelum ini dengan membatalkan kerjasama politik di Sarawak, Sabah dan terakhir memutuskan hubungan dengan Presiden PAS pada 24 Mac 2015.

Kemudian, tambah beliau DAP secara konsisten menyerang hampir setiap hari dan mencampuri urusan dalaman pemilihan PAS menjelang Muktamar Tahunan PAS yang lalu.

Menurutnya, perkara itu turut disedari dan ditempelak oleh beberapa pimpinan PAS yang turut kalah dalam pemilihan baru-baru ini.

"Tindakan-tindakan melampau DAP inilah yang memaksa Dewan Ulamak PAS Pusat membuat reaksi dan mengusulkan satu usul tergempar bagi memutuskan hubungan dengan DAP dan kekal di dalam Pakatan Rakyat.

"Walau bagaimanapun, ia dengan syarat mendapat persetujuan daripada Majlis Syura Ulamak PAS," ujarnya yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Katanya lagi, kenyataan Lim Guan Eng sejurus selepas mesyuarat jawatankuasa parti berkenaan harus merujuk kepada kenyataan kontradik Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang masih rasional mempertimbangkan situasi yang berlaku.

Beliau menambah, Azmin masih optimis dengan kerjasama Pakatan Rakyat di Selangor dan menolak pilihan untuk membubarkan Dun.

"Dalam sandiwara ini, DAP dilihat terlalu ofensif, gopoh dan terburu-buru menyerang PAS. Mereka sendiri yang memulakan ‘game’ ini dan mereka sendiri yang akhirnya mematikan Pakatan Rakyat.

"Kami dari Dewan Pemuda PAS Malaysia sekali lagi menekankan yang kami bersama-sama Presiden PAS dan kepimpinannya untuk bersama-sama komited dalam bertahalluf dengan Pakatan Rakyat selagi mana ia selari dengan ketetapan syara yg digariskan oleh Majlis Syura Ulamak," tegasnya. - HARAKAHDAILY 20/6/2015

 

Share on Myspace