Kapal MT Orkim Harmony tiba di Pelabuhan Kuantan

BERNAMA | .

KUANTAN: Kapal Tangki MT Orkim Harmony yang membawa 21 anak kapal selamat tiba di Pelabuhan Kuantan pagi ini.

Menurut jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kapal berkenaan selamat berlabuh pada kira-kira pukul 7.50 pagi tadi di Dermaga Petronas, pelabuhan berkenaan.

Kapal yang membawa muatan 6,000 metrik tan petrol RON95 bernilai RM21 juta itu pada awalnya dijadualkan tiba pada pukul 2 pagi tadi, namun tiba lewat setelah mengalami kerosakan pada salah satu enjinnya.

Pada 11 Jun lepas, kapal berkenaan terputus komunikasi dengan pangkalan pada 8.57 malam di Timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi di Johor.

Pada 18 Jun, kapal itu berjaya dikesan telah dirampas dan ditukar nama asalnya 'Orkim Harmony' kepada 'Kim Harmon'.

Semalam, kesemua 22 anak kapal tangki MT Orkim Harmony berjaya dibebaskan kira-kira pukul 2.30 pagi menerusi rundingan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan perampas kapal berkenaan.

Bagaimanapun seorang daripada kru kapal iaitu tukang masak cedera di paha kerana ditembak perampas dan telah diterbangkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk mendapatkan rawatan lanjut dengan menggunakan helikopter.

Tiga pesawat iaitu P-3C Orion, C130 dan Beechcraft dihantar untuk menjejaki perampas yang melarikan diri daripada kapal tangki MT Orkim Harmony.

Lapan lelaki warga Indonesia yang dipercayai perampas kapal itu telah ditahan oleh pihak berkuasa Vietnam berhampiran Pulau Tho Chu, selatan Vietnam semasa cuba meloloskan diri daripada pemburuan pada 6.30 pagi.

Pihak TLDM dan APMM ketika ini masih menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa Vietnam sama ada lapan lelaki yang ditemui berhampiran perairan Vietnam pagi ini adalah perampas kapal tangki Malaysia.

Di Pelabuhan Kuantan, lebih 30 petugas media yang mula berkumpul seawal pukul 4.30 pagi ini bagi membuat liputan ketibaan kapal tangki berkenaan.

Satu sidang media oleh pihak TLDM dan APMM dijadual akan diadakan di Pangkalan Tanjung Gelam, di sini. - Bernama

Share on Myspace