Kerajaan boleh ada dan musnah sekelip mata

USTAZ DATUK AHMAD YAKOB | .

Bersama Al-Quran pada 3 Ramadhan 1436 ( juz 3)

Kupasan juz ketiga hari ini berkait rapat dengan dua surah iaitu surah Al-Baqarah dan surah Al-Imran. Surah Al-Baqarah pada juz ketiga ini, bermula dengan ayat 253 dan berakhir pada ayat 286 seterusnya di ikuti surah Al-Imran daripada ayat 1 sehingga ayat ke 91 sahaja.

Juz ketiga dimulakan dengan beberapa aspek tarbiyah yang menyeru agar orang-orang yang mengaku beriman kepada Allah membelanjakan harta mereka kearah kebaikan.

Allah telah menjelaskan cara untuk menginfakkan harta serta Allah memberi anugerah yang besar kepada orang yang berbuat demikian.

Namun Allah mengingatkan bahawa segala pemberian termasuk sedekah akan terbatal dan hangus segala pahala sekiranya orang yang membelanjakan hartanya mengungkit-ungkit dan menyakiti perasaan si penerima.

Setelah itu Allah mengingatkan umat manusia agar jangan terlibat dengan riba dan Allah telah mengisytihar perang kepada sesiapa yang terlibat dengan sistem ini.

Sekiranya seseorang daripada kita berhutang, maka tidak boleh sama sekali membayar lebih pada kadar hutang yang ditetapkan oleh pemberi hutang, itu adalah riba yang diharamkan.

Hutang hendaklah mempunyai saksi dan ditulis secara jelas agar tidak disalah erti pada waktu pembayarannya nanti.

Sementara di awal surah Al-Imran pula, Allah memberitakan tentang sikap manusia yang sangat cinta kepada anak-pinak, harta yang melimpah-ruah, wanita dan binatang ternak.

Apa yang lebih baik daripada semua itu ialah hanya takwa kepada Allah, tanpa takwa perkara yang dicintai tadi boleh melalaikan manusia untuk terus mengabdikan diri kepada Allah.

Allah turut menegaskan bahawa antara pemberian-Nya di muka dunia ini ialah pemerintahan sesebuah kerajaan.

Kerajaan boleh ada sekelip mata dan boleh musnah sekelip mata dengan kuasa Allah.

Oleh itu, dalam berkerajaan tidak boleh sama sekali kita melanggar perintah Allah dan berpihak kepada golongan kafir dan sekutunya yang jelas tidak henti-henti memerangi Islam.
Akhir juz ketiga ini, dinyatakan tentang kisah Nabi Isa alaihissalam sejak hari kelahiran baginda sehingga baginda menempuhi pelbagai ujian dahsyat dalam menegakkan perjuangan agama Allah.

Baginda juga telah memilih para Hawarinya yang sentiasa membantu bagi melicinkan perjalanan dakwah dan seterusnya perjuangan dakwah Nabi Isa dan para Nabi lain disambung oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW. 

Merakyatkan Membangun Bersama Islam

Keberkatan, Kebajikan, Kemakmuran

USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAKOB

Menteri Besar Kelantan Darulnaim

HARAKAHDAILY 20/6/2015

Share on Myspace