'Kabinet gerak kerja tawan Pahang' selesai dibentuk

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

TEMERLOH: Mesyuarat pertama Badan Perhubungan PAS Pahang yang dipengerusikan Pesuruhjaya yang baharu Ustaz Rosli Abdul Jabar, hari ini selesai membentuk jawatankuasa 2015-2017.

Dengan menamakan ‘kabinet gerak kerja ke arah menawan Pahang’ ia menyaksikan pelantikan dua Timbalan PJ yang baru iaitu Andansura Rabu bagi Zon Timur dan Yohanis Ahmad bagi Barat.

Manakala Md Jusoh Darus yang sebelum ini TPJ zon tengah, kekal.

Kesemua mereka merupakan Yang Dipertua PAS kawasan masing-masing iaitu Indera Mahkota, Jerantut dan Temerloh.

Dua jawatan utama lain iaitu Setiausaha dan Bendahari, penyandangnya dikekalkan untuk Roslan Zainal dan Musaniff Abdul Rahman.

Ketua Penerangan kali ini diamanahkan kepada mantan Ketua Pemuda Ustaz Nazri Ahmad, manakala Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN) kekal disandang Hasenan Haron.

Tujuh ahli jawatankuasa dilantik pula ialah Ustaz Yusof Embong, Ustaz Shahril Azman Abdul Halim, Mazlan Muhamad Yassin, Wan Mahadir Wan Mahmud, Mohd Fadzli Ramly, Alawiah Kasdan dan Ustaz Zuridan Daud.

Sementara itu dalam sidang media yang sama Ustaz Rosli berkata kabinet yang dibentuk hari ini dijangka kekal menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14.

“Justeru kita akan bekerja ke arah kemenangan dengan memperkukuhkan dalaman parti juga bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat di Pahang.

“Oleh yang demikian kami tidak akan melayan sebarang perkara titik-bengik yang ditimbulkan kerana hasrat kita ialah bergerak bersama membawa ke arah Pahang baru di bawah Pakatan Rakyat,” jelasnya.

Mesyuarat dewan-dewan sebelum ini telahpun memilih Ustaz Moktar Senik (Ulamak), Mohamad Hazmi Dibok (Pemuda) dan Salamiah Mohd Nor (Muslimat). - HARAKAHDAILY 20/6/2015

Share on Myspace