Pinda Akta 355: Dedah wajah sekular Umno

USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAT | .

USAHA PAS untuk menegakkan undang-undang syariah Islam telah menjadi hasrat sejak penubuhannya dan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan PAS. Maka, apabila memperolehi kekuasaan pemerintahan negeri, PAS telah membentang dan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993 serta Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) pada tahun 2001 dan (Hudud dan Qisas) pada tahun 2002 di Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Demikian itu, usul pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang, adalah sebahagian usaha dan percubaan PAS ke arah tujuan yang sama.

Ia merupakan peranan dan tanggung jawab PAS memperjuang dan mengangkatnya hingga menjadi perundangan yang sah mengikut prosedur dan amalan demokrasi negara ini. Adapun ia tidak dapat dibentangkan buat kali kedua pada Sidang Parlimen baru-baru ini bukanlah satu kegagalan, tetapi kerana tertakluk kepada Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Inilah bukti kesabaran, kesungguhan dan istiqamah PAS selama ini hingga akhirnya ia disenaraikan. Hanya menunggu masa gilirannya, RUU tersebut pasti akan dapat dibentangkan. Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-61 telah memberi isyarat jelas bahawa ahli PAS bersama dan teguh dibelakang Tuan Guru Presiden PAS termasuk menanti tiba detik RUU ini akan dibentangkan.

Golongan yang mendakwa kononnya PAS ditipu dan masuk perangkap Umno sebenarnya sengaja membiarkan emosi mempengaruhi mereka. Hakikatnya yang terperangkap adalah Umno di mana selama ini berdolak dalih terhadap pelbagai kepentingan berkenaan Islam. Sebaliknya, usul RUU Persendirian ini menunjukkan kebijaksanaan PAS memanfaatkan peluang dan ruang yang menjerat Umno.

Penundaan dan alasan untuk memberi laluan kepada Presiden PAS mendahulukan membentangkan RUU tersebut hanya menyerlahkan lagi wajah sekular disembunyikan Umno. Sedangkan melaksanakan perundangan Islam merupakan sebahagian daripada perintah Allah SWT sebagaimana kefarduan solat, puasa dan haji. Apakah ada perkara yang lebih perlu diberikan keutamaan daripada melaksanakan syariat Allah?

Turut terperangkap juga adalah golongan yang berpura-pura lunak kepada Islam, tetapi mereka sebenarnya tidak mahu perundangan Islam dimartabatkan. Saat melihat usaha PAS ini hampir berjaya dikemuncaknya, mereka cuba menggunakan pelbagai cara untuk menghalang impian ini direalisasikan.

Golongan inilah yang menggugat keharmonian permuafakatan Pakatan Rakyat apabila menjadikan EKJS dan RUU sebagai alasan. Pihak berkepentingan ini jelas bermotif menggantikan PAS dalam pakatan baharu dan memaksa PAS meninggalkan dasar perjuangannya, selain memecahkan kesatuan yang ada dalam parti Islam ini kerana dengki, dendam dan iri hati mereka.

Namun, PAS akan tetap teguh dengan dasar dan perjuangan Islamnya. PAS tidak pernah menyembunyikan agendanya. PAS akan terus berusaha mengangkat Islam menjadi cara hidup yang memberikan kesejahteraan kepada orang Islam bahkan termasuk kepada masyarakat majmuk negara ini hingga rakyat mengecapi nikmat ‘rahmatan lil ‘alamin’. PAS yakin usaha ini pasti berjaya dengan adanya pertolongan Allah biarpun mengambil masa ratusan tahun. – HARAKAHDAILY 20/6/2015

 - Ustaz Mohd Azam ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah

Share on Myspace