Baiki dan susunlah jadual dan masa kita - Nik Abduh

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Para ulama salaf menjadikan bulan Ramadhan bagai perayaan membaca al-Quran.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, mereka mengurangkan telaah kitab-kitab hadis kerana penumpuan kepada tadarus dan tadabbur al-Quran.

"Mereka khatamkan bacaan al-Quran mengikut keupayaan masing-masing dengan izin Allah," tulisnya menerusi laman facebook.

Menurutnya, ada yang setiap minggu, setiap tiga hari bahkan diriwayatkan ada di antara mereka yang mengkhatamkannya sehari sekali.

Tambahnya, itulah kelebihan daripada Allah kepada mereka.

"Justeru, baiki dan susunlah jadual dan masa kita sebaik-baiknya sehingga mampu mengikuti jalan orang-orang yang soleh," ujar Ahli Parlimen Pasir Mas itu.

Katanya, kemanisan Ramadhan adalah rebutan para ulama yang mesti diusahakan kerana ia bukan datang secara percuma.

"Selamat beribadah dan bermuraqabah mendekati Allah," tambahnya. - HARAKAHDAILY 20/6/2015

Share on Myspace