Bawa Ahmad Maslan ke JK Hak, Kebebasan Parlimen

HARAKAHDAILY | .

Kenyataan Rasmi Bank Negara berkenaan merudumnya kadar tukaran matawang Ringgit Malaysia telah membuktikan rakyat telah ditipu oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

Beliau menyatakan punca kejatuhan Ringgit ini kononnya akibat serangan daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir terhadap kepimpinan PM Najib.

Bank Negara menyatakan punca kejatuhan Ringgit adalah perkembangan global dan dalam negeri.

Perkembangan global termasuklah jangkaan pelabur berhubung dengan dasar monetari bank-bank pusat utama serta trend harga minyak mentah dan gas.

Faktor-faktor dalam negeri termasuklah kebimbangan terhadap entiti berkaitan kerajaan (GLC) dan isu berkaitan penarafan. Tidak pula dinyatakan serangan Tun Mahathir sebagai punca.

Justeru, saya mendesak Datuk Ahmad Maslan bertanggungjawab untuk menarikbalik kenyataan palsu yang dibuat oleh beliau.

Jelas ia adalah taktik terdesak demi membela PM Najib daripada serangan berterusan oleh Tun Mahathir.

Beliau turut mengulangi kenyataan palsu ini di Parlimen.

Saya memohon agar Datuk Ahmad Maslan dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen pada sidang akan datang kerana beliau telah berbohong dan mengelirukan ahli dewan. - HARAKAHDAILY 20/6/2015

DATUK MAHFUZ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
20 Jun 2015

Share on Myspace