TNB beli 70% ekuiti, adakah 'bailout' 1MDB lagi?

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) telah menjangka sebahagian besar aset 1MDB akan dijual dan dicair bagi melupuskan hutang syarikat berkenaan yang berjumlah RM42 bilion.

Strategi menyelamat (bailed out) krisis kewangan 1MDB terus dilakukan menerusi dana awam dan syarikat berkepentingan strategik negara.

Malangnya, rakyat masih terus diperbodohkan dengan skandal kewangan 1MDB selagimana ia belum diklarifikasikan kepada awam menerusi Laporan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

Malah, Kementerian Kewangan belum mengarahkan syarikat audit bebas untuk menjalankan audit tertangguh dari 1 April 2014 hingga 31 Mac 2015.

Selepas isu kontroversi pembelian 1.56 ekar tanah Tun Razak Exchange menerusi Lembaga Tabung Haji (dana awam) yang berharga RM188.5 juta daripada 1MDB, kini syarikat utiliti terbesar negara, Tenaga Nasional Berhad pula membeli (baca bailed out) 70 peratus ekuiti 1MDB dalam loji janakuasa arang batu (Projek 3B).

Semalam baru jelas terbukti kabinet telah membuat keputusan untuk membenarkan TNB membeli ekuiti tersebut pada hujung Mei lalu.

TNB ‘terpaksa’ membeli 70 peratus ekuiti ini setelah anak syarikat 1MDB (Syarikat Edra Global Energy Berhad) gagal meneruskan projek ini sejak 23 Februari 2015.

Kerajaan Malaysia wajib menjelaskan berapakah jumlah pembelian ekuiti bagi menyelamatkan Projek 3B dan 1MDB tersebut?

Menteri tidak bertanggungjawab jika hanya maklumkan bahawa ia dibuat secara ‘willing buyer and willing seller basis’.

Rakyat akan terus ditipu sama sepertimana pembelian plot tanah TRX sebelum ini yang dibeli 43 kali lebih tinggi daripada harga asal yang dibeli oleh 1MDB daripada Kerajaan Malaysia.

Ini menunjukkan bahawa 1MDB adalah projek tenat Perdana Menteri dan kini semua masalah kewangan syarikat tersebut di‘bailed out’ oleh rakyat sendiri!

Rakyat sendiri akan menerima kesan akhir apabila TNB turut meminta kerajaan merevisi tarif ekoran daripada kelewatan projek berkenaan. - HARAKAHDAILY 21/6/2015

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Share on Myspace