Ikram doa aktivis dibebas berjuang pertahan hak asasi

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram) melahirkan rasa bersyukur dan gembira di atas pembebasan 11 aktivis yang menjalani hukuman di penjara Tapah kerana terlibat dalam demonstrasi membantah pelantikan Menteri Besar yang baharu pada 2009.

Mereka dibebaskan setelah mendapat pengampunan daripada Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dua hari lepas.

"Pengampunan yang diberikan Paduka Seri Sultan Perak disambut baik pada saat umat Islam sedang menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan tahun ini," ujar Pengerusi Jawatankuasa Masyarakat Madani Ikram, Prof Madya Badlishah Sham Baharin dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ini pastinya menggembirakan aktivis terbabit kerana dapat pulang ke pangkuan keluarga untuk menjalani ibadah puasa.

Tambahnya, ia pastinya juga suatu keputusan yang bermakna kepada keluarga mereka yang sabar dan terus berjuang mendapat keadilan semasa mereka menjalani proses penghakiman dalam tempoh yang lama dan juga sewaktu mereka mula menjalani hukuman di Penjara Tapah.

"Ikram mendoakan dan berharap semoga negara Malaysia ini akan diperintah oleh pemimpin yang akan selalu berlaku ihsan dan adil kepada rakyatnya," ujarnya lagi.

Tambah beliau lagi, Ikram juga mendoakan agar mereka yang baru dibebaskan itu akan terus bersemangat tinggi untuk berjuang mempertahankan hak asasi di bawah sistem demokrasi di negara ini. - HARAKAHDAILY 21/6/2015

Share on Myspace