Pasti Pulau Pinang perlu bangunan sendiri

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) semakin mengorak langkah menjadi pilihan utama bagi ibu bapa sebagai medium pendidikan prasekolah Islam kepada anak-anak khususnya di Pulau Pinang.

Setelah lebih 25 tahun bertapak di Pulau Pinang, Pasti semakin berkembang pesat dan bilangan pelajar yang semakin meningkat dari tahun ke tahun.

"Perkembangan terkini, Pasti Pulau Pinang telah menerima pelajar dari kalangan non-muslim," ujar Pengarah Pasti negeri, Mohd Hafiz Kasim dalam satu kenyataan.

Ini, katanya membuktikan sistem pembelajaran Pasti amat berkesan di dalam memberi pendidikkan Islam dengan menekankan sistem 5M iaitulah membaca, menulis, mengira, menghafaz dan mengamalkan.

Menurutnya, sistem yang dirangka itu turut diakui sebagai yang terbaik di Malaysia malah turut dikongsi dengan Jamaat Islami Sri Lanka oleh Pengarah Pasti Malaysia, Ustaz Hassan Ahmad dalam rangka lawatan beliau baru-baru ini.

Justeru, ujarnya bagi mengukuhkan dan memantapkan Pasti di Pulau Pinang maka satu cadangan telah dibuat untuk memastikan Pasti negeri mempunyai bangunan sendiri bagi memudahkan urusan pentadbiran dan mengurus sama ada untuk latihan, bilik mesyuarat, pejabat perniagaan dan sebagainya dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM1.5 juta.

"Maka saya menyeru kepada semua para dermawan untuk membantu kami merealisasikan impian ini," ujarnya lagi.

Katanya, sumbangan boleh disalurkan atas nama PASTI NEGERI PULAU PINANG DANA PEMBANGUNAN melalui akaun BIMB 07-0430-1102-4556 atau menghubungi Ustaz Rizam di talian 019-4789 560. - HARAKAHDAILY 21/6/2015

 

Share on Myspace