Mangsa banjir guna duit sendiri baiki rumah rosak

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Hussain Aris, 54, terpaksa menggunakan duit sendiri bagi membaik pulih rumahnya yang rosak akibat banjir akhir tahun lepas.

Beliau terpaksa menggunakan wang yang disimpan kerana kerja-kerja pembaikian yang dilakukan di bawah peruntukan Kesedar masih tidak selesai sepenuhnya.

“Saya difahamkan peruntukan yang dilulus Kesedar bagi membaiki rumah setiap mangsa banjir kira-kira RM10,000. Namun kerja-kerja pembaikian yang dilakukan selama lima hari ke atas rumah saya seperti tidak setara dengan peruntukan itu.

“Bahan binaan yang dihantar termasuk pasir dua lori, bata jokong dua pelet, simen 25 beg, pintu rumah sekeping dan zink 10 keping.

“Selain itu kayu saiz 1 inci x 2 inci tiga batang. Batu kuari mereka guna yang saya beli sendiri,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya beliau terpaksa menandatangani tiga keping borang selepas kerja-kerja baik pulih siap dilakukan kontraktor dilantik Kesedar.

Rumah kayu dua tingkat milik Hussain sebahagian daripadanya rosak akibat banjir tahun lepas. Beliau bernasib disenarai di bawah projek baik pulih rumah di bawah Kesedar kerana memiliki geran hak milik.

Sebelum ini Kesedar mengumumkan projek baik pulih rumah mangsa banjir dengan nilai maksimum sehingga RM10,000 dengan syarat pemiliknya memiliki geran hak milik.

Hussain bagaimanapun berkata beliau terpaksa menggunakan wang yang disimpan bagi menyiapkan sepenuhnya kerja-kerja baik pulih rumahnya biar pun mendapat bantuan Kesedar.

“Saya juga bekerja sebagai tukang rumah sedikit sebanyak tahu berapa nilaian kerja-kerja dilakukan kontraktor dilantik Kesedar.

“Biar apapun saya rakam terima kasih kerana disenarai menerima bantuan tersebut biar pun terpaksa mencari duit lain bagi menyiapkan pembaikian rumah yang rosak,” katanya.

Difahamkan di Kampung Limau Kasturi 10 mangsa banjir disenarai mendapat bantuan baik pulih rumah di bawah Kesedar.

Penghulu Mukim Limau Kasturi, Razali Mat Tahir memberitahu penduduk yang mendapat bantuan baik pulih rumah di bawah Kesedar meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerja-kerja dilakukan. - HARAKAHDAILY 21/6/2015

Share on Myspace