Selagi fajar menyingsing

SALAHUDDIN AYUB | .

Malam tadi Sdr Zubir (pegawai Pejabat Agung PAS yang setia) menyerahkan surat rasmi perlantikan saya sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Bermakna bermula lagi satu episod dalam kehidupan saya untuk membuat satu keputusan penting.

Keputusan yang bakal saya buat (sama ada menerima atau menolak) adalah perhitungan hidup mati karier saya dalam PAS. Saya bermula dengan perjuangan PAS sejak tahun 1981. Bermula dengan TYDP Kawasan Pontian hingga Naib Presiden PAS 2015.

Saya masih belum menjawab secara rasmi tetapi beberapa jam yang lalu telah riuh rendah di media baru tentang berita perlantikan saya ke AJK Pusat. Ada yang memberi nasihat dan memujuk. Ada yang memberi amaran dan ancaman memutuskan persahabatan. Kesian saya. Sudahlah sebelum muktamar ditohmah fitnah, dah kalah pun kena belasah lagi. Tapi saya tak boleh marah-marah. Itulah asam garam dunia politik yang saya telah pilih dengan jiwa raga saya.

Saya akan membuat keputusan dalam masa yang terdekat (mungkin selepas kita menyambut Syawal yang mulia). Almarhum Ust Fadzil Noor pernah menasihati saya dalam membuat keputusan penting dalam perjuangan politik. Kita boleh minta dan dengar nasihat dari orang lain. Jadilah pendengar yang baik. Buatlah keputusan atas pertimbangan sendiri. Jangan izinkan sesiapa pun "dictate" kita dalam hidup ini.

Setelah 35 tahun saya faham apa maksud nasihat Ust Fadzil. Hari ini saya akan membuat keputusan. Betul atau salah keputusan yang saya akan buat, diri saya sendirilah yang akan menanggungnya sepanjang hayat. Orang lain hanya mampu ketawa dan bersedih buat setika waktu saja.

Pada tahap ini saya pasrah sepenuhnya pada pencipta saya Allah SWT. Hanya Dia tempat saya mohon petunjuk dan Maha Mengetahui yang terbaik untuk hambaNya seperti saya.

Salahuddin Hj Ayub
21 Jun 2015

Share on Myspace