TPPA: Malaysia patut sedar, jangan teruskan rundingan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Nik Nazmi Nik Ahmad tertarik dengan laporan-laporan yang mengatakan bahawa Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama akan membuat lawatan ke Malaysia sekali lagi pada bulan November, walaupun baru sahaja membuat lawatan pada bulan April tahun ini.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan itu, apa yang lebih menarik adalah lawatan pada bulan April itu merupakan lawatan pertama seorang Presiden Amerika Syarikat selepas hampir 50 tahun.

Katanya, lawatan terakhir adalah pada tahun 1966 yang diketuai oleh Presiden Lyndon B Johnson.

"Mengapa tiba-tiba seorang Presiden Amerika begitu tertarik dengan Malaysia dan rantau ini?

"Adakah mungkin kerana beliau ingin meraih sokongan untuk Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang semakin lama semakin lesu?" tanya beliau dalam satu kenyataan.

Pada bulan lepas, katanya pentadbiran Obama gagal untuk mendapatkan sokongan Senat, terutamanya daripada golongan ahli parti Demokrat beliau sendiri bagi mendapatkan kuasa fast-track untuk berunding perihal TPPA.

Walau bagaimanapun, ujarnya Kongres Amerika Syarikat baru-baru ini meluluskan juga Trade Promotion Authority, dengan majoriti tipis dan kini ia perlu mendapatkan semula kelulusan di Senat.

"Kesungguhan Obama untuk meluluskan perjanjian ini, yang sehingga sekarang masih tetap dirunding dengan penuh sulit, menimbulkan beberapa persoalan mengenai niat beliau," ujarnya.

Menurutnya, seperti yang sudah dilaporkan di merata-rata tempat, TPPA merupakan satu perjanjian yang berat sebelah dan hanya memberi manfaat kepada syarikat-syarikat transnasional besar Amerika, di samping menjejaskan kedaulatan negara-negara lain, termasuklah Malaysia, serta kesihatan awam dan kebebasan internet.

Tambahnya lagi, Obama sendiri tidak mampu meyakinkan rakan-rakan parti Demokrat beliau untuk menyokong perjanjian itu walaupun Amerika pasti menerima manfaat yang besar, maka Malaysia sepatutnya sedar perkara ini dan tidak meneruskan rundingan.

"Dalam hal ini kerajaan Malaysia mestilah membuat pendirian terhadap komitmen mereka sama ada mereka sanggup membenarkan Amerika Syarikat dan syarikat-syarikat besar negara itu merobek kekayaan negara ini atau membuat keputusan yang betul dan mempertahankan kepentingan dan kedaulatan negara kita," ujarnya. - HARAKAHDAILY 22/6/2015

Share on Myspace