PAS Perak gabung tenaga berpengalaman, muka baru

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

IPOH: Badan Perhubungan PAS Negeri Perak telah membentuk ahli jawatankuasanya untuk sesi 2015-2017 dalam mesyuarat pertama kelmarin.

Rata-rata pimpinan kali ini adalah muka baru dan berkolaborasi dengan kepimpinan berpengalaman.

Noh Ahmad telah dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak bersama-sama Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib dan Ustaz Misbahul Munir Masduki.

Sementara itu, Adun Gunong Semanggol, Ustaz Zawawi Abu Hassan telah diberikan amanah sebagai Setiausaha manakala Yang Dipertua PAS Kawasan Gerik, Ustaz Mohd Dahlan Ismail dilantik sebagai Bendahari.

Mantan Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss pula diberi tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan manakala Ustaz Mustaffa Wahab sebagai Pengarah Jabatan Pilihanraya.

Penolong Setiausaha masing-masing diamanahkan kepada Ismad Shahril Che Mat, Mohd Aidil Abdul Aziz dan Burhanuddin Mat.

Seramai tujuh orang telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa iaitu Mohd Rizal Ayob, Dr Zuhdi Marzuki, Dr Wan Mohd Moyiddin, Zamri Ibrahim, Ustaz Wan Muhammad Tarmizi Abdul Aziz, Ustaz Fairuz Hafiz Othman dan Husna Saidon.

Mesyuarat bersama pimpinan di setiap kawasan yang dipengerusikan oleh Pesuruhjayanya, Razman Zakaria itu telah bersetuju untuk melantik Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad sebagai Penasihat.

Bercakap kepada Harakahdaily, Razman mengharapkan kepimpinan yang dipilih dapat memberikan fokus untuk kesinambungan sessi lalu.

Menurutnya, pimpinan perlu fokus untuk merealisasikan pencapaian kerja yang ditetapkan dalam memacu parti di peringkat negeri itu.

"Diharapkan kepimpinan yang ditaklifkan dapat berusaha untuk merapatkan ukhwah antara satu sama lain, sama ada di peringkat negeri mahupun akar umbi.

"Kita perlu terus bergerak ke hadapan dengan membawa wadah parti," katanya ketika dihubungi.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu menjelaskan, usaha penyatuan dalaman mengikut acuan Ucapan Dasar Presiden PAS di muktamar baru-baru ini perlulah dilaksanakan secara menyeluruh.

Beliau menyeru agar seluruh pimpinan dan ahli agar dapat terus beristiqamah hingga kemenangan dalam membawa mesej Islam ke dalam masyarakat.

"Antara lain, perkara yang ingin ditekankan oleh PAS Perak adalah melakukan 'enggagement' dengan pelbagai pihak termasuklah NGO dan parti politik berpandukan Al-Quran dan as-Sunnah.

"Saya yakin kepimpinan yang dilantik ini adalah yang terbaik dalam menggalas amanah perjuangan ini," jelas Razman. - HARAKAHDAILY 22/6/2015

Share on Myspace