Elak spekulasi, perkukuh keselamatan perairan negara

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ekoran terdapat pelbagai spekulasi berhubung isu kehilangan kapal tangki MT Orkim Harmony pada 11 Jun lalu, PAS menegaskan supaya semua aset dan kelengkapan keselamatan perairan negara diperkukuhkan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, isu rompakan dan serangan terhadap kapal-kapal komersial di kawasan perairan Selat Melaka dan Laut China Selatan telah banyak berlaku sebelum ini.

"Berdasarkan data yang diperolehi pada tahun 2014, sekurang-kurangnya 3 buah kapal komersial telah dirompak sehingga mengakibatkan kerugian yang besar," ujarnya dalam satu kenyataan.

Antaranya, kata beliau sebuah kapal kargo minyak Jepun dirompak di kawasan perairan Pulau Ketam pada bulan April 2014, disusuli dengan kapal dagang MT Ai Maru di kawasan perairan Timur Laut Sedili, Johor pada bulan Jun 2014 dan juga rompakan ke atas kapal kargo minyak MT Oriental Daily di kawasan perairan Laut China Selatan sebulan selepas itu.

"Isu ini turut menimbulkan keraguan sejauhmana keberkesanan kapasiti kerajaan dan Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (Searcct) menangani proliferasi kegiatan lanun yang merbahaya di rantau ini," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Begitu juga, ujarnya kemantapan kerjasama maritim menerusi mekanisme Tripartite Technical Expert Group on the Safety Navigation (TTEG) yang telah wujud sebelum ini.

Tambahnya, ekoran daripada kehilangan kapal tersebut sehingga kepada penangkapan beberapa suspek, terlalu banyak persoalan yang timbul dikalangan rakyat dan ia boleh menjejaskan wibawa keselamatan serta kedaulatan negara.

Oleh yang demikian, tegasnya PAS turut mendesak agar mekanisme dan operasional yang lebih kukuh perlu diwujudkan dalam kalangan negara-negara persisir pantai, negara-negara pengguna dan institusi perkapalan antarabangsa. - HARAKAHDAILY 22/6/2015

Share on Myspace