Syukur dapat berbuka puasa, bersahur di rumah baru

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Baru sahaja rumah bekas Imam Masjid Kampung Serian siap dibaiki, namun akhir Disember lepas rumah itu hanya tinggal tungku.

Sungai Nenggiri terletak tidak jauh dari rumah Osman Mahmood. Arus membadai menghanyutkan semuanya. Apa yang tinggal hanya tiang rumah.

Osman dan penduduk kampung lari menyelamatkan diri di Masjid Batu 11 yang terletak di atas bukit.

“Kira-kira 70 penduduk bersesak-sesak dalam masjid. Dua malam keluarga saya berada di masjid. Ketika itu makanan dicatu. Kami makan apa sahaja yang ada.

“Bantuan dari luar tidak boleh masuk kerana putus hubungan. Selepas air bah surut pak cik balik rumah, tengok hanya tinggal tiang sahaja,” katanya ketika ditemui.

Beliau tidak mampu menangisi nasib terhadap apa yang berlaku kecuali meredhai segala-galanya.

Selepas bah surut beliau dan keluarga tinggal di bawah khemah.

Penyelia Dun Nenggiri, Syed Azhar Syed Alwi berkata, rumah Osman baru sahaja selesai dibaiki dengan kos kira-kira RM4,000 sebelum banjir datang.

Kata beliau malangnya selepas siap dibaiki rumah bekas imam terbabit, tiba-tiba bah besar datang dan terus menghanyutnya.

Bagaimanapun Osman bernasib baik, selepas beberapa bulan berteduh di bawah khemah ada NGO datang. Mereka membantu membina semula Osman di tapak asal.

“Anggota tentera datang dari Kuala Lumpur bergotong royong membina semula rumah pak cik. NGO pula menghulur sumbangan,” ujarnya.

Isterinya masih lagi memasak di bawah khemah kerana dapur yang dibina belum siap.

Namun beliau bersyukur dapat berbuka puasa dan bersahur di atas rumah baru.

Sebelum Ramadan lalu beliau menerima zink sumbangan anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi. - HARAKAHDAILY 23/6/2015

Share on Myspace